JOHOR BAHRU - Suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram pada pagi Jumaat, dipercayai bertindak bersendirian dan tidak terbabit dengan mana-mana kumpulan terancang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dapatan awal itu dibuat selepas polis selesai menemubual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan itu.
"Saya juga ingin maklumkan, siasatan polis bermula selepas insiden tanpa tangguh.Siasatan awal mendapati suspek bertindak sendirian didorong motivasi kefahamannya malah dia dan keluarga juga tidak bercampur masyarakat.
"Oleh kerana itu, kita boleh buat kesimpulan awal, yang penyerang ini bertindak sendirian. Ia terpisah daripada satu misi besar, atau kumpulan terancang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Sabtu.
Saifuddin Nasution berkata, 46 individu dipanggil itu diambil keterangan bagi disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan fahaman Jemaah Islamiyah (JI) atau tidak.
Katanya, kesemua mereka dilepaskan setelah diambil keterangan.
Sebelum itu, pada Jumaat media melaporkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi Jumaat, yang mengorbankan dua anggota polis serta suspek penyerang dilakukan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati di tempat kejadian, sememangnya telah merancang dan melakukan serangan untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!