PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta berharap bekas pengurusnya, David Moyes dapat membantu mereka dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila West Ham United akan menentang Manchester City pada perlawanan terakhir musim ini.
Arsenal yang akan menentang Everton di tempat sendiri, berada dua mata di belakang City menuju ke perlawanan terakhir pada Ahad.
Arsenal mesti menang untuk mencerahkan peluang muncul juara, namun perlu mengharapkan West Ham dapat menewaskan City dalam satu lagi aksi di Stadium Etihad.
Moyes menandatangani Arteta pada 2005 ketika dia menjadi pengurus Everton, membawa pemain tengah Sepanyol itu ke England di mana dia menghabiskan baki kariernya sebelum terjun dalam bidang kejurulatihan.
"Dia memainkan peranan penting dan sangat penting dalam karier saya sebagai pemain bola sepak. Dia boleh membantu kami untuk memenuhi impian kami dan impian peribadi saya untuk memenangi EPL.
"Kami perlu menang, kemudian berharap West Ham membantu kami mencapai impian kami. Bahagian pertama itu terletak pada kami, itulah satu-satunya perkara yang boleh kami fokuskan," katanya.
Arteta berkata, dia tidak mampu memikirkan apa yang akan berlaku jika mereka kehilangan gelaran kepada City sekali lagi seperti yang berlaku musim lalu.
Arsenal memenangi EPL kali terakhir pada musim 2003-04 di bawah kendalian Arsene Wenger apabila mereka mengharungi saingan sepanjang musim tanpa kalah.
Tetapi, kelab utara London itu tidak pernah berjaya menamatkan kemarau kejuaraan sejak berpindah dari Highbury ke Stadium Emirates pada 2006.
"Kami berada pada hari terakhir musim bermain untuk trofi EPL yang berlum pernah kami julang sejak berpindah ke Emirates yang dibina 20 tahun lalu.
"Trofi itu akan mungkin menjadi milik kami. Kami perlu menjalankan tugas, kemudian berdoa supaya kejuaraan akan hadir," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!