JOHOR BAHRU - Semua pihak perlu memberi ruang kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci berhubung serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, yang mengorbakan dua anggota polis pada pagi Jumaat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebarang spekulasi yang dibuat boleh mengganggu ketenteraman awam di negara ini.
"Saya gesa masyarakat untuk mengelakkan membuat sebarang spekulasi tanpa mengaitkan serangan ke atas balai polis ini dengan agama.
"Polis tentunya akan menjalankan siasatan mengikut jalur undang-undang dengan mengambil kira semua perkara. Saya juga ingin maklumkan, siasatan polis bermula lepas insiden tanpa tangguh,"dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya memohon supaya laporan berita yang dihasilkan agar fokus kepada fakta kes seperti yang disebut oleh polis tanpa perlu dikaitkan dengan agama.
"Pihak media juga dinasihatkan begitu. Saya dapat kesan sebahagian tulisan (kaitkan serangan kononnya berskala besar), saya mohon supaya fokus kepada melaporkan fakta kes seperti yang disebut oleh polis.
"Kami pun akan berikan butiran maklumat setakat yang kami temui.Rayu kepada media, ini sangat penting," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!