JERANTUT - [DIKEMAS KINI] Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan agar soal keselamatan negara tidak diambil mudah oleh mana-mana pihak.
Ia susulan kejadian membabitkan dua anggota polis maut dan seorang lagi cedera akibat ditembak oleh seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada awal pagi Jumaat.
Menurutnya, dari segi indeks keamanan, Malaysia berada di tahap paling tinggi.
"Tapi dalam kejadian yang sangat terasing sebegini jangan diambil mudah.
"Jadi saya fikir bukan sahaja PDRM tapi Majlis Keselamatan Negara turut bergerak untuk menentukan perkara ini supaya ia tidak berlaku," katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui selepas perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 MW Cenergi FJP di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menghargai tindakan polis dalam menangani kejadian di Ulu Tiram termasuk berkaitan Jemaah Islamiyah dan menyifatkan negara tidak sepatutnya dicemari insiden keganasan.
"Apa yang berlaku di Ulu Tiram, tahniah dengan tindakan pantas pihak polis amat dihargai untuk menyelesaikan soal Jemaah Islamiyah yang sepatutnya berada bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Pencegahan Keganasan (POTA) yang dibentangkan oleh saya ketika menjadi menteri KDN, boleh mengekang pergerakan ini.
"Namun saya merasakan negara kita tidak sepatutnya terus menghadapi masalah keganasan.
"Malaysia adalah negara contoh di mana dasar deradikalisasi telah diterima merata dunia," jelasnya turut mengucapkan takziah berikutan kejadian yang menimpa anggota terlibat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan Malaysia harus bebas daripada masalah keganasan selain menjamin keharmonian kaum dan agama.
"Saya telah sarankan kefahaman silang budaya mesti dilakukan supaya kefahaman rakyat yang terdiri masyarakat pelbagai kaum dapat dipertahankan di negara kita," tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!