'Saya kehilangan adik, kawan terbaik'

Iklan
Ahmad Azza Fitri menunjukkan gambar adiknya yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada Jumaat.

TANJUNG MALIM -"Saya kehilangan adik, kawan terbaik". Demikian luahan Lans Koperal Ahmad Azza Fitri Azhar, 24, yang merupakan abang kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi yang terkorban dalam tragedi serangan Balai Polis Ulu Tiram pada awal pagi Jumaat.

Menurutnya, pemergian Allahyarham seakan kehilangan separuh jiwanya kerana terlalu akrab hinggakan segala aktiviti dilakukan bersama.

Iklan
Iklan

"Bila tahu kisah ini, saya tengok berita terus terdiam. Tidak sangka kejadian seperti ini menimpa adik sendiri dan tanpa berlengah ambil tiket terus pulang ke Semenanjung," katanya ketika ditemui di Kampung Poh Tambahan, Bidor pada Sabtu.

Ahmad Azza Fitri yang bertugas di Balai Polis Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah berkata, sambutan Ramadan tahun ini merupakan kenangan terakhir bersama.

Iklan
Ahmad Azza Fitri

"Sudah empat tahun kami tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dan cuti dua minggu itulah kami habiskan aktiviti bersama sebelum masing-masing balik bertugas," katanya.

Berhubung kes serangan tersebut, Ahmad berkata, keluarga menyerahkan segala siasatan kepada polis dan berharap kematian Fahmi mendapat keadilan.

Iklan

Jenazah Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor selepas solat Asar hari ini.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Johor maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan tembak suspek disyaki anggota Jemaah Islamiah (JI).

Selain Ahmad Azza Fahmi, seorang lagi anggota yang terbunuh adalah Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!