Rahul Gandhi, Rajnath Singh antara calon berprofil tinggi fasa ke-5 PRU India

Iklan
Penyokong Kongres pada perhimpunan pilihan raya yang dialamatkan oleh pemimpin parti terkemuka Rahul Gandhi di Amethi pada hari Jumaat. Amethi adalah salah satu daripada 49 kerusi yang pengundian berlangsung pada Isnin dalam fasa kelima pilihan raya umum India yang panjang. Foto Bernama

LUCKNOW - Pemimpin pembangkang terkemuka India, Rahul Gandhi dan Menteri Pertahanan, Rajnath Singh adalah antara calon berprofil tinggi yang nasibnya akan ditentukan dalam fasa kelima pilihan raya parlimen India pada Isnin ini.

Rahul bertanding di Raebareli, Uttar Pradesh dan dijangka memperoleh sokongan kuat memandangkan kawasan tersebut dianggap sebagai kubu kuat keluarganya.

Iklan
Iklan

Ibunya, Sonia Gandhi, memenangi kerusi tersebut pada 2019 dan merupakan satu-satunya wakil Parti Kongres dari Uttar Pradesh di Lok Sabha, dewan rendah parlimen.

Negeri paling padat penduduk itu menyumbang 80 daripada 543 ahli parlimen yang dipilih dalam dewan tersebut.

Iklan

Rahul berhadapan dengan calon Parti Bharatiya Janata (BJP), Dinesh Pratap Singh, yang tewas dalam pilihan raya lepas menentang Sonia.

Di kawasan bersebelahan Amethi, calon BJP, menteri persekutuan Smriti Irani, berusaha untuk mempertahankan kerusinya.

Iklan

Parti Kongres menurunkan Kishori Lal Sharma, pembantu rapat keluarga Gandhi, sebagai calon di Amethi.

Dalam pilihan raya parlimen 2019, Irani mengalahkan Rahul, yang masih berjaya memasuki parlimen kerana memenangi kerusi Wayanad, kerusi kedua yang ditandinginya serentak di negeri Kerala.

Rahul juga bertanding di kerusi Wayanad dalam pilihan raya 2024 ini.

Kepimpinan tertinggi Kongres, termasuk presiden parti Mallikarjun Kharge, Sonia dan kakaknya Priyanka, memberi tumpuan di Raebareli dan Amethi kerana kedua-dua tempat tersebut mempunyai ikatan istimewa dengan keluarga Gandhi.

Nenek Rahul, Indira Gandhi, banyak kali dipilih mewakili Raebareli dan bapanya Rajiv Gandhi menjaga kawasan Amethi.

Keputusan di Amethi akan bergantung kepada tahap penerimaan pengundi biasa terhadap keluarga Gandhi, tingkah laku pengundian kumpulan sosial dominan dan sama ada penduduk berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat semasa.

Satu lagi kerusi berprestij ialah Lucknow, yang pengundian akan berlangsung pada Isnin bersama 48 lagi kawasan parlimen lain di seluruh India.

Sebagai ibu negeri Uttar Pradesh, Lucknow adalah pusat kuasa politik yang utama.

Rajnath adalah tokoh utama BJP dan menikmati populariti yang besar di bandar tersebut.

Penentang utamanya adalah Ravidas Mehrotra dari Parti Samajwadi dan Sarwar Malik dari Parti Bahujan Samaj.

Dua lagi kawasan penting bersebelahan Lucknow ialah Mohanlalganj dan Barabanki.

Menteri persekutuan Kaushal Kishore, yang mencari penggal ketiga dari Mohanlalganj, berhadapan dengan calon Samajwadi, R.K. Chaudhary, sebagai pencabar utamanya.

Parti Kongres dan Samajwadi adalah sebahagian daripada Perikatan Inklusif Pembangunan Nasional India, dikenali sebagai INDIA.

Gabungan lebih 20 parti pembangkang ini mempunyai perjanjian perkongsian kerusi yang bertujuan untuk mengambil keuntungan maksimum dari keadaan serantau dan tempatan menentang BJP yang memerintah.

Parti Kongres bertanding di 67 kerusi pada 2019 di Uttar Pradesh dan hampir kalah di semua kerusi.

Kali ini ia menurunkan 17 calon di negeri tersebut sementara baki 63 kerusi mempunyai rakan gabungan dalam persaingan menentang BJP.

Perjanjian ini membolehkan Parti Kongres mengerahkan lebih banyak sumber di tempat seperti Raebareli dan Amethi.

Blok INDIA juga telah berusaha untuk menunjukkan perpaduan yang lebih ketara.

Pada Jumaat, ketua Samajwadi Akhilesh Yadav dan Rahul bersama-sama berucap dalam satu perhimpunan besar di kawasan luar bandar yang terpencil di Amethi.

Kawasan tersebut telah menyaksikan kempen oleh tokoh utama pemerintah dan pembangkang.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, membuat penampilan kempen keduanya di Raebareli pada Jumaat dan berucap dalam perhimpunan menyokong calon BJP.

Ahli politik berpengaruh yang mempunyai pengaruh besar terhadap kumpulan kasta dan komuniti tempatan sedang dipujuk secara intensif untuk beralih sokongan dalam persaingan sengit di Uttar Pradesh.

Pengundi biasa dalam pilihan raya ini menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi terhadap isu-isu seperti inflasi, pekerjaan dan tekanan ekonomi, tetapi masih banyak ucapan atau pernyataan yang bersifat memecahbelahkan dan penuh emosi - ciri dominan dalam kempen pilihan raya di India. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!