Bayi lelaki cukup sifat dibuang di lantai kedai ayam

Iklan
Keadaan bayi lelaki yang cukup sifat ditemui di sebuah premis jualan ayam segar terletak di Jalan Air Putih, Chukai, Kemaman.

KEMAMAN - Orang ramai dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki di sebuah kedai jualan ayam di Jalan Air Putih, Chukai di sini pada pagi Sabtu.

Bayi cukup sifat dan masih sihat itu ditemukan oleh seorang peniaga ayam goreng, Mohd Helmi Hashim, 35, ketika ingin mengambil bekalan ayam segar di premis berkenaan sekitar jam 7 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bayi tersebut merupakan bayi kedua yang dijumpai di lokasi sama selepas penemuan seorang bayi perempuan pada Julai tahun lalu.

"Masa sampai ke kawasan kedai untuk ambil bekalan ayam, rakan saya terdengar seperti bunyi kucing.

Iklan

"Kami segera amati dan cari arah mana datangnya suara itu dan terkejut apabila menemukan seorang bayi baru lahir yang berbalut kain di atas lantai kedai," katanya.

Mohd Helmi berkata, dia segera menghubungi pihak polis untuk melaporkan mengenai penemuan itu.

Iklan

"Waktu jumpa, bayi itu nampak kesejukan. Mungkin pelaku telah meletakkan bayi itu di sini sekitar waktu Subuh pagi tadi.

"Dalam jam 7 lebih, polis datang bersama ambulans untuk bawa bayi tersebut ke Hospital Kemaman," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurut Mohd Helmi Hashim, dia berhasrat untuk menjadikan bayi yang dijumpainya itu sebagai anak angkat.

Katanya, dia dan isteri, Zuriyani Ghani, 32, telah sembilan tahun mendirikan rumah tangga, namun belum dikurniakan cahaya mata.

"Saya sebenarnya telah lama berkahwin namun belum dapat rezeki cahaya mata. Bila tengok orang buang bayi merata-rata tempat begitu saya rasa sedih sangat.

"Saya berhasrat sangat nak jadikan bayi ini sebagai anak angkat saya dan saya harap hasrat saya ini menjadi kenyataan," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi itu.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan ditemui di lantai kedai yang sama pada 6 Julai 2023.

Bayi cukup sifat dan masih bertali pusat itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh tiga atau empat hari sebelum ditemui sekitar jam 7.50 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!