LEBIH 3,000 peserta dari 19 negara berpeluang ‘merasmikan’ Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menerusi penganjuran kali pertama acara berbasikal RHB WCE Century Ride pada Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad dan Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata, ini usaha mempromosikan Lebuhraya Pantai Barat, menggalakkan pelaburan dan pembangunan di sekitarnya.
"Seramai 3,038 peserta telah mengesahkan penyertaan. Buat julung kalinya kategori kayuhan sepanjang 160 kilometer (km) di laluan sistem lebuhraya tertutup diperkenalkan sekali gus menawarkan suasana serta pengalaman unik dan kayuhan yang selamat.
"Peserta boleh menjangkakan acara yang teratur dengan papan tanda laluan yang jelas, stesen hidrasi yang mencukupi, perkhidmatan ambulans bersiap sedia pada bila-bila masa sepanjang laluan.
"WCE Century Ride juga melantik penganjur acara yang sama seperti LEKAS Ride, yang mempunyai rekod cemerlang dalam menganjurkan acara berbasikal selama beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Acara sempena Tahun Melawat Perak 2024 ini menawarkan pelbagai kategori peringkat umur dengan tiga pilihan utama cabaran ditawarkan iaitu 160 kilometer (km), 90km dan 28km di Lebuhraya WCE yang akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir.
Menariknya, acara berbasikal yang dibawakan Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu berjaya menarik kehadiran peserta antarabangsa dari 19 negara iaitu Argentina, Australia, Brunei, Kemboja, Kanada, China, Denmark, Hong Kong, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Belanda, Norway, Filipina, Rusia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Menurut Alfred Felix, setiap peserta dinasihatkan mengambil beberapa langkah tertentu untuk memastikan penyertaan mereka di RHB WCE Century Ride berjalan lancar tanpa sebarang masalah, antaranya memeriksa basikal masing-masing sebelum bermulanya saingan.
"Setiap peserta dinasihatkan untuk merancang perjalanan, berehat secukupnya dan tiba awal untuk memudahkan urusan pendaftaran.
"Acara akan bermula dengan pelepasan pada jam 6:45 pagi di Plaza Tol Lekir. Banyak aktiviti akan berlangsung pada hari berkenaan termasuk majlis penyampaian anugerah untuk kategori kompetitif.
"Selain itu terdapat jualan makanan yang akan menawarkan pelbagai pilihan dan peserta akan menerima baucar makanan untuk menikmati hidangan selepas kayuhan itu," katanya.
Perlumbaan berbasikal yang dibawakan oleh Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu menawarkan hadiah wang tunai kepada tiga pemenang teratas bagi cabaran 160km Century Ride dan 90km Ride.
Penganjur juga memberi jaminan langkah-langkah keselamatan amat dititikberatkan termasuk sokongan kakitangan perubatan, penyediaan marshal yang mencukupi untuk mengawal lalu lintas dan acara itu juga mendapat sokongan Kementerian Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!