KUANTAN - Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pernah berjanji mahu meluangkan masa bersama ahli keluarganya pada Aidiladha ini.
Adik bongsunya, Nur Aina Damia, 14, berkata, perancangan itu dibuat kerana abangnya tidak dapat pulang ketika Hari Raya Aidilfitri lalu susulan giliran bekerja pada tahun pertama perkhidmatannya.
"Saya ingat dia balik seminggu cuti sekolah ini, kami sudah rancang hendak raya haji (Aidiladha) bersama dan berkumpul. Tapi (tidak sangka) dia balik awal ke sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Mahkota Jaya di sini pada Sabtu.
Nur Aina berkata, pemergian abangnya itu menyebabkannya hilang satu-satunya insan yang paling rapat memandangkan abang dan kakaknya yang lain sudah berkeluarga.
Tambah Nur Aina, pemergian abangnya itu sesuatu mengejutkan dan sukar untuk diterima.
"Saya rasa macam tidak boleh terima sebab kami memang rapat. Sebelum ini, kalau di rumah kami hanya tinggal berempat termasuk mak dan ayah sahaja.
"Jadi, saya dan abang selalu bersembang, kalau ada apa-apa cerita, kami akan berkongsi," katanya.
Sebelum itu, Nur Aina berkata, dia mengetahui kejadian menimpa abangnya itu selepas dimaklumkan kakak iparnya selepas pulang dari sekolah.
"Ketika sampai di rumah saya tengok ada ramai polis, saya tanya mak dan ayah, mereka tidak jawab kerana sedih. Saya kemudian tanya kakak ipar dan dimaklumkan abang sudah tiada (meninggal)," katanya.
Selain Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq, insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada jam 2.45 pagi Jumaat itu turut mengorbankan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, serta suspek, 21.
Sementara Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan ditetak, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, suspek yang berusia 21 tahun yang ditembak mati di tempat kejadian, sememangnya telah merancang dan melakukan serangan itu untuk mendapatkan senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!