Kelas menengah perlu ambil risiko ceburi perniagaan, jadi majikan

Iklan
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bercakap pada Majlis Sidang Media Program Innovathon Musim Kedua di sebuah hotel pada Rabu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Golongan kelas menengah bumiputera perlu mengambil risiko melibatkan diri dalam bidang perniagaan dengan bertindak sebagai majikan, sekali gus beralih daripada kerjaya makan gaji.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebagai kumpulan terbesar di negara ini, penglibatan lebih ramai golongan berkenaan yang memiliki perniagaan akan membantu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, usaha berkenaan memerlukan anjakan bersama, melalui peranan kerajaan dan agensi-agensi dalam menyediakan ekosistem bagi mengimbangi risiko-risiko tersebut dengan potensi yang boleh diteroka.

"Saya bercita-cita untuk mengubah model kejayaan masyarakat, bermula dengan kelas menengah bumiputera supaya bakat-bakat masa depan negara tahu bahawa mencipta nilai melalui syarikat sendiri adalah sama besar sumbangan dan kejayaannya dengan menjadi CEO yang makan gaji di syarikat besar," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Selain itu, Rafizi memaklumkan terdapat tiga agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang diberi amanah untuk menjaga ekosistem iaitu Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

Tambahnya, tanggungjawab Yayasan Peneraju untuk membina bank bakat profesional bumiputera dan Teraju menggalas cabaran menghasilkan syarikat kecil dan sederhana yang boleh bersaing untuk diskalakan.

Iklan

"Bagi Ekuinas pula akan bertanggungjawab untuk melonjakkan syarikat separa besar bumiputera yang berpotensi disenaraikan di pasaran saham.

"Agensi ini diselaraskan untuk membina satu laluan yang sistematik bagi membolehkan negara menskalakan penyertaan dan pembangunan syarikat bumiputera berpotensi tinggi,” jelasnya lagi.

Rafizi turut memaklumkan bahawa tiga agensi berkenaan akan mengumumkan program khusus yang dibuka kepada bakat niagawan Bumiputera pada 20 Mei nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!