SELANGOR FC berjaya meraih tiga mata berharga selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Sabtu.
Gol tunggal pada minit ke-85 oleh pemain gantian Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau sudah cukup untuk membolehkan skuad Gergasi Merah meraih tiga mata penting selain kemenangan solidariti buat pemain sayap mereka, Faisal Halim.
Lebih menggamatkan stadium apabila Aliff Haiqal turut meraikan jaringannya dengan gaya 'siu' sebagai simbolik kepada gaya keraian jaringan oleh Faisal yang ketika ini sedang menerima rawatan akibat menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.
Bagaimanapun, permulaan perlawanan agak hambar apabila kedua-dua pasukan gagal untuk menghadirkan ancaman menggerunkan pada separuh masa pertama.
Percubaan terbaik hanya hadir melalui Muhammad Mukhairi Ajmal pada minit kedua yang diselamatkan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.
Perlawanan itu juga turut diselangi dengan solidariti kepada Faisal oleh penyokong kedua-dua pasukan yang berdiri dan memberi tepukan pada minit ketujuh perlawanan.
Minit ketujuh itu dipilih sebagai simbolik kepada nombor jersi Faisal atau dikenali sebagai Mickey bersama pasukan Gergasi Merah dan pasukan kebangsaan.
Bersambung babak kedua, KDA FC lebih tersusun mengatur permainan dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Syafiq Ahmad yang menerima lorongan Sony Norde, namun percubaannya sedikit tersasar.
Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil membuat keputusan untuk melakukan beberapa pertukaran memasukkan Reziq Mohammed Saleh Banihani dan Alif Haiqal.
Percaturan itu berhasil apabila kedua-dua pemain itu memainkan peranan penting untuk mencipta gol sulung yang juga gol kemenangan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!