ISKANDAR PUTERI - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Ahad, mengutuk sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme ke atas insiden serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kejadian pada awal pagi Jumaat, yang menggemparkan negara itu telah mengorbankan dua anggota polis sementara seorang lagi anggota polis cedera.
"Kerajaan negeri mengutuk sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme. Apatah lagi apabila kejadian melibatkan anggota polis.
"Kerajaan negeri berdiri teguh bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menentang apa juga ekstremisme dan akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya insiden sebegini tak berulang lagi di Johor," katanya.
Beliau berkata demikian pada penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail.
Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut dalam insiden itu.
"Semoga roh keduanya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.
"Kita doakan Koperal Mohd Hasif Roslan, yang masih dirawat supaya diberi kesembuhan dan pulih seperti biasa," katanya.
Beliau seterusnya meminta semua ahli Dewan berdiri bagi bertafakur membacakan al-Fatihah kepada dua wira negara yang terkorban itu.
Sebelum itu pada Jumaat, media melaporkan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi Jumaat, yang mengorbankan dua anggota polis serta suspek penyerang.
Susulan kejadian itu, polis dilaporkan telah menyerbu rumah suspek dan tangkapan dibuat terhadap lima ahli keluarganya yang berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang kini sedang direman.
Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram bertindak sendirian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!