Usaha bantu PKS tembusi pasaran luar negara perlu dipertingkat - PM

Iklan
Anwar ketika berucap semasa Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SAMARKAND - Usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menembusi pasaran luar negara perlu dipertingkat bagi mengangkat kedudukan syarikat berkenaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, PKS perlu dibantu dalam mewujudkan jaringan yang baik dengan syarikat dari negara lain untuk memasarkan produk mereka.

Iklan
Iklan

"Perlunya (ada) jaringan untuk syarikat kecil yang modalnya mungkin puluhan juta sahaja. Jaringan pekerjaan dan pasaran untuk produk Malaysia itu penting. Seperti produk halal, ia tentunya tidak cecah sampai ratus juta (modal syarikat kecil) tetapi penting dari segi mengangkat kedudukan syarikat kecil dan sederhana itu.

" Katakanlah ada 30, 40 syarikat yang agak sederhana dari segi rangkaian kedai ataupun dari segi produk... tentunya bukan bernilai berbilion ringgit tetapi ia (bantuan seperti itu) memberikan jaringan yang penting bagi syarikat kecil dan sederhana di Malaysia,” katanya kepada media Malaysia pada hari akhir lawatan beliau ke Uzbekistan, di sini, pada Ahad.

Iklan

Anwar berkata, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex yang diadakan di sini pada Sabtu, yang hadiri beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan Jamshid Khodjaev, mendapat sambutan amat luar biasa daripada syarikat Malaysia dan Uzbekistan.

Menurut beliau, kehadiran peserta mencecah lebih 200 terdiri daripada syarikat utama sama ada dimiliki oleh kerajaan atau swasta dengan komitmen perdagangan yang dijana bernilai kira-kira RM710 juta.

Iklan

"Tetapi saya jangka dalam rundingan mereka (syarikat-syarikat) dalam satu dua hari ini tentunya akan ada penambahan yang ketara, cuma mereka belum lagi menandatangani (perjanjian kerjasama) jadi kita tidak umumkan,” kata Perdana Menteri.

Pada 2023, perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan berjumlah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlahRM449 juta (AS$93.6 juta) manakala import sebanyak RM1.99 juta (AS$414,518).

Anwar tiba di Tashkent pada Jumaat untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Uzbekistan. Pada hari pertama lawatan di ibu kota Uzbekistan itu, Anwar melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev sebelum mengadakan mesyuarat bersama presiden itu.

Semasa pertemuan lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum itu Perdana Menteri melawat Republik Kyrgyz dan Kazakhstan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!