Negara pesat membangun Asia Tengah berpotensi jadi rakan kerjasama strategik Malaysia

Iklan
Anwar (kiri) ketika Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia bersama-sama pimpinan Kerajaan Uzbekistan diketuai Timbalan Perdana Menteri, Jamshid Khodjaev. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SAMARKAND - Negara sedang pesat membangun di Asia Tengah berpotensi menjadi menjadi rakan kerjasama strategik yang baik bagi Malaysia untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing menerusi kolaborasi dalam pelbagai bidang baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dalam rangka lawatan ke tiga negara Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan bermula 14 hingga 19 Mei, berkata, jaringan dengan negara-negara yang sedang pesat membangunkan itu amat penting dalam keadaan dunia yang tidak menentu hari ini.

Iklan
Iklan

"Kalau dilihat dari segi pelaburan, negara seperti China, Jerman, Amerika Syarikat itu pelaburan besar, tentunya akan beri manfaat dari segi peluang pekerjaan, pusat kecemerlangan latihan.

"Tetapi kekuatan negara ekonomi sedang pesat membangun ini terutama Uzbekistan adalah jaringan dengan syarikat peringkat pertengahan yang akan melibatkan secara langsung dengan pengusaha dan di peringkat pertengahan (di Malaysia),” katanya kepada media Malaysia pada hari akhir lawatan beliau ke Uzbekistan, di sini pada Ahad.

Iklan

Selain itu, Anwar berkata, hubungan antarabangsa dan kerjasama dengan negara sedang pesat membangun seperti Uzbekistan sudah tentunya akan banyak membantu Malaysia kerana mempunyai pendekatan dan strategi sama.

Uzbekistan adalah persinggahan terakhir bagi lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum itu Perdana Menteri melawat Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

Iklan

Anwar tiba di Tashkent pada Jumaat untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari di Uzbekistan.

Pada hari pertama lawatan di ibu kota Uzbekistan itu, Anwar yang tiba dari Kazakhstan telah melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev sebelum mengadakan mesyuarat bersama presiden itu.

Semasa pertemuan lebih sejam itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta meneroka bidang kerjasama yang berpotensi.

Pada hari kedua, beliau dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex, di sini, yang disertai lebih 200 syarikat dari Malaysia dan Uzbekistan.

Antara anggota delegasi Malaysia dalam lawatan ke Uzbekistan adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!