SKUAD negara melangkah ke peringkat suku akhir acara regu divisyen premier kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila muncul juara Kumpulan B dengan menundukkan Brunei 2-0 pada perlawanan terakhir di sini, malam ini.
Lebih manis, kemenangan selesa 15-7, 15-7 di Stadium Titiwangsa itu disaksikan kira-kira 1,000 penonton tempatan yang menjadi antara faktor penting kejayaan diraih anak buah Ahmad Jais Baharun selepas sorakan padu mereka menggamatkan venue berkapasiti 1,500 tempat duduk itu.
Pada pertembungan menentang Brunei, Malaysia mengekalkan trio sama iaitu Farhan Adam selaku apit kiri (perejam), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias sebagai apit kanan (pengumpan) selepas menunjukkan persembahan konsisten ketika menewaskan China, semalam.
Bagaimanapun, selepas menjinakkan Brunei kendalian bekas jurulatih kebangsaan Abd Talib Ahmad, Mohammad Syahir berkata masih terdapat kelemahan individu yang harus diperbaiki dalam usaha berada pada tahap optimum menjelang perlawanan final yang merupakan sasaran pasukan.
"Bagi saya masing-masing belum capai lagi prestasi kemuncak dari segi balingan, servis dan libasan semua belum capai tahap maksimum dan kami akan cari dalam setiap perlawanan, harap kami dapat ke final dan beraksi dengan lebih baik di final,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menanti Malaysia di pentas suku akhir Selasa ini adalah antara Korea Selatan, Singapura dan Filipina selepas saingan Kumpulan C masih lagi terbuka.
Mohammad Syahir berkata, pasukan tidak akan memandang rendah mana-mana pihak lawan di suku akhir dan akan menganggap setiap pasukan yang dihadapi adalah Thailand.
"Untuk aksi seterusnya kita tengok nanti, sebenarnya dalam persiapan kami memang nak lawan Thailand, jadi untuk perlawanan ini kami bersedia seperti akan berlawan dengan Thailand,” kata tekong berusia 27 tahun itu.
Dalam pada itu, juara bertahan Thailand mara ke suku akhir selaku juara Kumpulan A apabila merekodkan kemenangan kedua selepas menumpaskan Indonesia 2-0 (15-11, 15-7).
Terdahulu, India turut menempah tiket ke pusingan kalah mati selaku juara Kumpulan D apabila merakam kemenangan kedua selepas menjinakkan Myanmar 2-1 (15-13, 12-15, 15-13)
Sementara itu, dalam saingan Kumpulan C menyaksikan Singapura memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menundukkan Korea Selatan 2-1 (10-15, 15-11, 15-12) dan akan membuat perhitungan menentang Filipina dalam aksi hidup mati esok. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!