KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini mengajak rakyat Malaysia untuk lebih bersyukur dan berterima kasih kepada anggota pasukan keselamatan, atas pengorbanan dan jasa mereka kepada negara.
Seri Paduka Baginda bertitah semua pihak harus beringat bahawa keberadaan anggota keselamatan bertugas di seluruh pelusuk negaralah, yang membolehkan rakyat menikmati keselamatan dan keamanan bersama keluarga tersayang.
"Mereka yang berkhidmat sebagai polis, tentera darat, tentera laut, tentera udara, dan bomba, memastikan negara kita terkawal dan kita dapat hidup dalam keadaan selamat dan aman.
"...Setiap kali anda melihat seorang tentera, polis, bomba atau mana-mana badan berkaitan, sedarlah bahawa mereka merupakan lelaki dan wanita yang hidup berjauhan dari keluarga mereka, dan nyawa mereka boleh diancam pada bila-bila masa, tidak kira siang mahu pun malam,” titah Seri Paduka Baginda melalui hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam Ahad.
Raja Permaisuri Agong bertitah terdapat sesetengah rakyat Malaysia tidak menunjukkan sikap yang baik di media sosial, dalam menghargai sumbangan para pasukan keselamatan.
"Kita memilih untuk merungut, tetapi tidak pula kita bersyukur kerana kita bernasib baik dapat hidup dalam sebuah negara yang aman secara amnya, malah tidak terbabit dalam sebarang peperangan,” titah Raja Permaisuri Agong.
Seri Paduka Baginda turut mengajak semua rakyat, untuk memberi perhatian kepada kebaikan kakitangan Polis Diraja Malaysia, yang sanggup bersabung nyawa dalam melaksanakan tugas memantau keselamatan dalam negara.
"Antara golongan yang sering dikritik ialah kakitangan polis. Segala keburukan mereka dicanangkan di khalayak umum, namun kebaikan mereka tidak pula diberi perhatian sama. Adakah kita sanggup untuk meronda kawasan sekitar, dengan kesedaran bahawa kita boleh diserang dan dibunuh pada bila-bila masa?
"Sewaktu kita tidur nyenyak dan selamat di rumah di waktu malam, mereka inilah yang berada di balai-balai polis seluruh negara, yang berjaga memantau keselamatan,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Permaisuri Agong mengingatkan bahawa serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram yang mengorbankan dua orang anggota dan mengakibatkan kecederaan parah kepada seorang lagi, berlaku ketika anggota berkenaan sedang bertugas menjaga keselamatan rakyat yang sedang tidur.
Pada jam 2.45 pagi Jumaat lepas, dua anggota polis iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said meninggal dunia, apabila Balai Polis Ulu Tiram diserang seorang suspek. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!