PEMINAT seni bela diri campuran (MMA) sekali lagi bakal menyaksikan permusuhan kru dari Dagestan dan Ireland di UFC selepas penyandang juara Lightweight, Islam Makhachev mengalu-alukan pertarungan dengan Conor McGregor.
Menurut Islam, dia tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk bertarung dengan McGregor kerana percaya ia bakal menjadi pertarungan paling mudah dalam kariernya.
Tambah Islam yang juga teman rapat dan rakan sepelatih Khabib Nurmagomedov, dia bukan bercakap besar atau memperkecilkan kemampuan McGregor tetapi keyakinannya berpandukan kepada realiti sebenar.
"Orang bodoh saja yang tolak berlawan dengan McGregor kerana dia bukan lagi seperti dahulu.
"Sekarang siapa sahaja mampu menumbangkan McGregor di dalam Oktagon dan bawa pulang wang tunai yang banyak.
"Sudah tentu saya menerimanya (bertarung dengan McGregor).
"Dulu, semasa berdepan Khabib, McGregor adalah petarung yang bagus.
"Tapi sekarang, terlalu banyak (minum) alkohol... Sesiapa sahaja boleh menewaskannya,” ujar Islam yang dalam persiapan mempertahankan tali pinggang Lightweight berdepan Dustin Poirier dalam UFC 302 di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) pada 2 Jun ini.
McGregor kali terakhir beraksi di Oktagon pada 2021 yang menyaksikan petarung dari Crumlin, Dublin itu patah kaki selepas menentang Poirier.
Anak emas Presiden UFC, Dana White itu dijangka kembali ke gelanggang dalam UFC 303 berdepan Michael Chandler pada 30 Jun depan.
Sebagai rekod, pertarungan McGregor-Khabib di UFC 229 pada 6 Oktober 2018 mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah organisasi itu.
Beberapa hari menjelang aksi di Oktagon, McGregor melancarkan perang psikologi ke atas Khabib dengan menghina isteri, bapa, agama dan negaranya.
Lebih teruk lagi, McGregor bertindak menyerang bas dinaiki Khabib yang menyebabkan beberapa petarung termasuk Michael Chiesa dan Ray Borg cedera dan terpaksa menarik diri.
Pada hari pertarungan, Khabib mendominasi McGregor dan menang menerusi gerakan submission di pusingan keempat.
Bagaimanapun, acara utama UFC 229 tersebut 'dicemari' tindakan Khabib yang melompat keluar gelanggang dan menerkam jurulatih jiu jitsu kem McGregor, Dillon Danis yang didakwa mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap jaguh dari Dagestan itu.
Kekalahan itu masih berbekas di hati McGregor dan dia kerap menghina Khabib di media sosial dengan harapan petarung Rusia itu keluar daripada persaraan dan sekali lagi masuk ke Oktagon untuk pertarungan ulangan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!