FRASA kempunan sudah sinonim dengan Arsenal apabila kelab utara London itu sekali lagi terlepas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Seperti musim lalu, impian skuad kendalian Mikel Arteta dimusnahkan oleh Manchester City yang gah pada pecutan akhir ke garisan penamat untuk mempertahankan mahkota EPL buat kali keempat berturut-turut - satu rekod baharu bagi kejuaraan divisyen utama Inggeris.
Arsenal yang mengharapkan keputusan seri di Etihad, sekadar berpuas hati di tempat kedua biarpun bangkit melakar kemenangan 2-1 ke atas Everton di Emirates.
Ini kerana City terlalu unggul di Etihad apabila menang 3-1 ke atas West Ham.
Dua gol daripada Phil Foden dan satu jaringan sumbangan Rodri sudah cukup untuk memastikan The Citizens muncul juara di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.
West Ham dalam pada itu, biarpun tewas mereka memperbaiki kedudukan apabila menamatkan kempen musim ini di tangga ke sembilan berbanding 14 musim lalu.
Bagi Arteta, menamatkan musim ini di tempat kedua satu pencapaian yang membanggakan buat Arsenal.
"Kami berjaya merubah hala tuju kelab tetapi Arsenal perlu perubahan amat drastik untuk mencipta kejayaan lebih gemilang.
"Musim ini kami berjuang dari awal dan semakin hampir bergelar juara
"Apa pun, terima kasih tidak terhingga kepada penyokong yang berdiri di belakang kami," ujar Arteta.
Sementara itu, pertahanan City, Kyle Walker berkata, Arsenal telah memberikan mereka peluang semasa perlumbaan ke garisan penamat EPL dan memanfaatkan setiap perlawanan untuk mengejar dan memintas Arsenal.
"Mereka beri kami peluang dan kami memanfaatkan ia sebaik-baiknya," kata Walker.
Walker sebelum menyertai City adalah tonggak utama Tottenham Hotspur yang merupakan musuh utama Arsenal.
Bersama Spurs, Walker tidak pernah memenangi sebarang trofi utama dan sering menjadi bahan ejekan peminat The Gunners.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!