Helikopter terhempas: Presiden Iran, semua penumpang maut

Iklan
Ebrahim Raisi

TEHRAN - Presiden Iran, Ebrahim Raisi dilaporkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki beliau terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Iklan
Iklan

Reuters melaporkan, seorang pegawai kerajaan Iran memaklumkan bahawa helikopter yang hilang itu ditemui 'terbakar sepenuhnya'.

Ketua Bulan Sabit Merah Iran berkata, helikopter membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi, telah ditemui tetapi keadaannya 'tidak baik'.

"Helikopter itu telah ditemui. Sekarang, kami bergerak ke arah helikopter," kata ketua Bulan Sabit Merah, Pirhossein Koolivand, sambil menambah 'keadaan tidak baik'.

Iklan

Laporan awal daripada pasukan mencari dan menyelamat menunjukkan bahawa semua penumpang di dalam helikopter itu, termasuk Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian terkorban dalam nahas itu.

Pasukan penyelamat Iran menunggu di sekitar kawasan lokasi pencarian helikopter yang dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi di wilayah Tabriz barat daya Iran. Foto EPA

Persatuan Bulan Sabit Merah Iran sebelum ini mengesahkan telah tiba di tapak nahas susulan dron milik Turki mengesan satu kawasan di Wilayah Azerbaijan Timur yang mengeluarkan haba.

Iklan

Sejurus itu 73 pasukan termasuk unit anjing pengesan dikerah ke kawasan terbabit namun berdepan cuaca hujan dan kabus tebal.

Terdahulu, helikopter yang membawa Presiden dan Menteri Luar Iran itu dilaporkan terpaksa melakukan 'pendaratan kecemasan' di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Insiden itu berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara bandar Varzaqan dan Jolfa di Wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Penduduk tempatan dilaporkan mendengar 'bunyi kuat' di wilayah berkenaan tidak lama selepas itu. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!