PUTRAJAYA - Malaysia mengikuti rapat perkembangan kes nahas helikopter yang dinaiki Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan delegasinya yang dilaporkan terhempas pada petang Ahad.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau mendapat khabar tentang kejadian itu semasa dalam perjalanan pulang ke Malaysia dari rangka kerja di Asia Tengah.
Menteri Luar Iran, Dr Hossein Amirabdollahian turut dilaporkan berada dalam helikopter tersebut.
"Bagaimanapun setakat ini difahamkan misi mencari dan menyelamat masih diteruskan biarpun berdepan cuaca buruk.
"Doa saya agar semua yang terlibat segera dijumpai dan berada dalam keadaan baik. Semoga khabar menyenangkan menjengah tidak lama lagi,” kata Mohamad dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan segera melalui laman media sosial rasmi Wisma Putra (Kementerian Luar Malaysia).
Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan Raisi sedang dalam penerbangan pulang daripada satu majlis untuk merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.
Selain Raisi dan Amirabdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur Malek Rahmati, Imam Solat Jumaat Bandar Tabriz Hojjatoleslam Al Hashem dan beberapa individu lain juga dilaporkan berada di dalam helikopter itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!