Rumah baru dibaiki terbakar, duit raya anak hangus

Iklan
Nik Asma'Bahrum (tengah) melihat kediaman Mohd Azizi yang hangus.

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri buntu selepas kediaman mereka yang baru dibaik pulih melalui peruntukan e-kasih hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Pauh kira-kira jam 9 malam Ahad.

Mohd Azizi Idris, 43, dan isteri, Norhayati Abdullah, 40, bersama empat anak berusia tiga hingga 16 tahun kini tinggal sehelai sepinggang.

Iklan
Iklan

Lebih menyedihkan, duit raya anak-anak mereka sebanyak RM3,500 turut hangus bersama beberapa dokumen penting lain yang tidak dibawa ketika keluar.

Mohd Azizi berkata, ketika kejadian, dia bersama keluarga keluar ke bandar Pengkalan Chepa untuk membeli barangan keperluan.

Iklan

"Tidak sampai 10 minit keluar dari rumah saya menerima panggilan daripada adik yang tinggal berdekatan memaklumkan kejadian berkenaan.

"Saya terus bergegas pulang dan sebaik tiba di pekarangan rumah, api sedang marak menjilat seluruh kediaman kami yang dibaiki Ogos lalu," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, sebelum meninggalkan rumah, isterinya sudah memeriksa keseluruhan ruang dan suis namun kesemuanya dalam keadaan baik.

Mohd Azizi menunjukkan barang yang hangus dalam kejadian kebakaran malam Ahad.

Mohd Azizi sebelum itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Asma'Bahrum Nik Abdullah yang turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga itu.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubunginya Mohd Azizi di talian 019-2925921 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bernombor 03018021527568 atas nama Mohd Azizi.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Zaidi Yahya berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 9.27 malam dan tiba di lokasi 19 minit kemudian.

Katanya, seramai 18 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, kebakaran berkenaan tidak melibatkan kemalangan jiwa dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!