KOTA BHARU - Sebanyak 50 kes baharu berkaitan kesihatan mental diterima setiap bulan yang memerlukan rawatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.
Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental HRPZ II, Dr Fariza Yahya berkata, daripada jumlah itu 25 adalah kes pesakit yang mengalami masalah kemurungan dan lain-lain.
Beliau berkata, amat penting untuk mereka yang mengalami masalah berkenaan supaya segera mendapatkan rawatan daripada pakar di hospital dan tidak perlu bimbang dengan stigma masyarakat dilabel sebagai pesakit mental.
"Saya minta kepada mereka yang terlibat (pesakit yang ada masalah mental) jangan sesekali cuba merawat sendiri dengan mengambil ubat-ubatan terlarang seperti pil kuda dan sebagainya.
"Kebiasaannya, mereka yang cuba merawat sendiri penyakit itu berakhir dengan kemurungan yang dihidapi menjadi semakin buruk,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Dr Fariza berkata, penyakit mental sebenarnya boleh diubati dengan bantuan daripada pakar yang bertauliah.
"Saya tidak menafikan ramai juga pesakit ini mendapatkan rawatan dengan pengamal perubatan tradisional di kampung-kampung,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kos perubatan berkaitan kesihatan mental juga mahal terutamanya bagi ubatan generasi baru tetapi ia ternyata berkesan dan kurang kesan sampingan.
Dr Fariza berkata, kemurungan bukan disebabkan oleh kurang iman (bagi pesakit beragama Islam) atau sebagainya, tetapi sebaliknya ia berpunca daripada tekanan berterusan dan boleh dikaitkan juga dengan faktor genetik.
"Apa yang penting, mereka perlukan rawatan yang intensif dan sokongan daripada orang yang rapat dengan mereka atau ahli keluarga.
"Jika ia dibiarkan tanpa sebarang rawatan, dikhuatiri ia menjadi semakin teruk dan akan memudaratkan diri sendiri serta orang lain,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!