Polis Selangor tingkat kawalan di balai, IPD

Iklan
Polis Selangor mempertingkat kawalan keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi Jumaat lalu. Foto Bernama

SHAH ALAM - Polis Selangor mempertingkat kawalan keselamatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri itu susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, individu yang datang berurusan di balai polis mahu pun IPD akan diperiksa dan dicatat butiran.

Iklan
Iklan

"Mereka yang datang ke balai polis semestinya ada urusan.

"Ini adalah langkah untuk memperketat kawalan keselamatan di IPD dan balai polis, bukan sahaja kepada anggota bertugas, malah kepada orang awam yang datang berurusan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, pihak polis juga sedang membuat penilaian untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik sekitar IPD mahu pun balai polis.

Mengenai pertambahan keanggotaan yang bertugas di waktu malam, jelas Hussein, perkara itu akan diteliti lebih lanjut.

Iklan

"Kita akan meneliti perkara ini, ini perlu agar respon pantas dapat dibuat sekiranya berlaku sesuatu perkara yang menggugat keselamatan," ujarnya.

Jumaat lalu, serangan seorang lelaki berusia 21 tahun berlaku di Balai Ulu Tiram, Johor menyebabkan dua anggota polis terkorban dan seorang cedera.

Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said, 24 dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, terkorban dalam insiden serangan kira-kira jam 2.45 pagi.

Selain itu, Sinar Harian turut melaporkan cubaan seorang lelaki merampas senjata submesingan jenis HK MP5 milik seorang anggota polis di Balai Dato' Keramat, pada Ahad, gagal selepas dia berjaya ditangkap pada hari sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!