KUALA LUMPUR - Ugutan bunuh yang diterima tidak merencatkan semangat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk menjalankan tugas sebagai wakil rakyat seperti biasa.
Teresa Kok berkata, pada pagi Isnin beliau bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah turun ke lawatan tapak kolam takungan banjir di Kampung Bohol, Puchong.
Beliau berkata, menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung notis ugutan berkenaan.
"Saya dinasihati oleh polis jangan cakap terlalu banyak tentang isu ini, supaya tidak buka pintu bagi orang yang ingin buat serangan pada saya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan, Naib Presiden DAP itu menerima kertas ugutan bunuh bersaiz A4 bersama dua peluru yang diletakkan dalam peti surat di kediamannya.
Kejadian disedari ketika Teresa Kok mahu mengambil surat di peti surat dan mendapati terdapat sampul surat mengandungi objek keras di dalamnya pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, beliau telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu Teresa Kok berkata, kejadian seumpama itu merupakan kali kedua dihadapi dalam tempoh 12 tahun.
"Ada satu kali selepas saya keluar daripada tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) pada 2008 apabila rumah ibu bapa saya dilontar bom petrol.
"Saya mengutuk pihak yang melakukan (serangan) ini kepada saya dan berharap polis dapat mengesan serta menahan pelaku ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!