HULU TERENGGANU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyarankan para pemilik tanah yang ingin menyertai penanaman semula getah supaya bergabung dengan melaksanakannya secara berkelompok.
Saranan itu dikemukakan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, yang mana langkah tersebut mampu meningkatkan produktiviti getah negara sekali gus memaksimumkan keberkesanan pengurusan ladang.
Malah, RISDA katanya telah pun menyediakan inisiatif projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) sebagai sokongan kepada para pekebun kecil menikmati pelbagai manfaat termasuk bantuan teknikal, sokongan kewangan dan akses kepada teknologi moden.
"Projek TSB ini mempunyai matlamat dalam meningkatkan kualiti hasil getah, mengurangkan kos operasi dan memastikan kelestarian ladang getah dalam jangka panjang.
"Pendekatan pengurusan kebun getah melalui konsep gabungan (kelompok) melalui jawatankuasa dalam kalangan para pemilik tanah mampu memastikan kebun dapat dibangunkan serta diuruskan dengan lebih ekonomik dan efisien," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek TSB Tanjung Rengas di Kampung Pasir Simpul, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Manndzri berkata, para peserta TSB juga mempunyai kelebihan dengan menerima bantuan prasarana asas seperti jalan pertanian, parit mahupun pembetungan yang turut memberi faedah dari segi akses penduduk sekitar seterusnya merancakkan lagi aktiviti ekonomi desa.
Pada masa sama katanya, usaha peningkatan ekonomi melalui projek integrasi secara 'on farm' atau 'off farm' di kawasan projek TSB seperti tanaman kontan dan ternakan juga boleh dilaksanakan.
Dalam pada itu, Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, RISDA menyasarkan sebanyak 82 projek TSB dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini melibatkan keluasan keseluruhan 3,156 hektar.
"Projek TSB ini bakal memanfaatkan seramai 1,864 orang pekebun kecil pada tahun ini," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai projek TSB Tanjung Rengas, Manndzri menyatakan, ia telah pun dimulakan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM350,000 melibatkan keluasan tanah 25.56 hektar dan seramai 15 orang peserta.
"Projek ini juga adalah sebahagian daripada usaha memperkasakan produktiviti dan pengeluaran aktiviti getah asli negara serta kemakmuran warga desa Madani.
"RISDA sentiasa mengalu-alukan kepada semua pihak yang berminat dengan program penanaman semula getah ini. Mereka boleh menghubungi RISDA bagi mendapatkan khidmat nasihat yang tepat serta lengkap,” jelas beliau.