MENCARI pasangan hidup atau berkahwin adalah sunnah Nabi Muhammad SAW dan sangat digalakkan dalam Islam. Ia berkait rapat dengan fitrah dan keinginan yang ada pada diri manusia itu sendiri.
Usaha ke arah mencari jodoh juga merupakan satu perbuatan murni ke arah mengamalkan sunnah tersebut namun perlu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan syarak.
Bagaimanapun sehari dua ini timbul satu acara digelar sebagai ‘Speed dating’ yang diadakan di sebuah kafe di ibu kota minggu lalu dan ia menimbulkan polemik serta persoalan mengenainya.
Apakah dibolehkan perbuatan seumpama ini dalam Islam?
Pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, ‘speed dating’ merupakan satu acara yang membolehkan peserta untuk berkenalan antara satu sama lain yang mana setiap wanita akan diberi masa duduk bersama lelaki untuk berbual.
"Setelah tamat masa, peserta lelaki yang lain pula akan berkenalan dengan peserta wanita tersebut dan begitulah seterusnya.
"Proses ini jelas tidak mengikut landasan Islam dalam bertaaruf. Islam sangat meninggikan maruah dan sifat malu antara kedua-dua pasangan,” katanya dalam status yang dimuatnaik dalam Facebook miliknya pada Isnin.
Menurutnya, jika taaruf itu tidak berjaya sekalipun, maka kedua-dua pasangan tetap perlu menjaga rahsia dan aib masing-masing.
Sejarah 'Speed dating'
Menelusuri sejarah berkaitan ‘speed dating’ ini, Ustazah Asma’ memberitahu, acara ini berasal dari Los Angeles, Amerika Syarikat yang dipanggil sebagai New Year’s Calling.
"Pada setiap 1 Januari, ramai wanita muda (belum berkahwin) akan mengadakan ‘rumah terbuka’ (pesta atau majlis resepsi) di mana mereka akan menjemput lelaki yang belum berkahwin yang layak, kawan mahupun orang yang tidak dikenali untuk singgah dan mengadakan lawatan ringkas, pertemuan itu tidak lebih dari 10 hingga 15 minit.
"Ia bermula pada tahun 1998, mereka mencipta cara untuk orang yang belum berkahwin bertemu antara satu sama lain dengan memanggilnya ‘speed dating’. Ia adalah program khas untuk mereka yang bujang, lalu tidak lama kemudian ia tersebar ke seluruh dunia,” jelasnya.
Hurainya lagi, acara ini telah pun bermula di negara ini sejak tahun 2015 lagi namun tidak mendapat perhatian seperti sekarang.
"Ia diakatakan sesi borak-borak, selepas itu pilih siapa yang kita suka, namun tujuan kepada sesi itu tetap sama iaitu mencari pasangan hidup, untuk tujuan ikatan pernikahan yang suci, yang kita harap hidup selamanya bersama dengan dia yang kita pilih sampai syurga.
Katanya lagi, situasi itu sangat merisaukan, lebih-lebih lagi jika kita melihat ruangan komen penjelasan tentang proses ‘speed dating’ ini berjalan.
"Ia tidak lari daripada temu janji atau dating yang kita faham iaitu pertemuan secara berdua-duaan tanpa dihadiri oleh orang yang lebih tua atau dipercayai.
"Sedangkan Islam menganjurkan apa jua pertemuan bagi yang mahu berkahwin perlu dihadiri oleh orang tengah agar maruah kedua-duanya terjaga dan tujuan kepada sebuah perkenalan itu mendapat reda ALLAH SWT,” hurainya.
Taaruf (perkenalan) dalam Islam
Ustazah Asma’ turut menjelaskan taaruf bermaksud berkenalan dan taaruf sebelum kahwin adalah satu proses perkenalan diri dengan lebih mendalam bagi kedua-dua pasangan yang mahu berkahwin.
"Ia boleh dilakukan di antara kedua-dua calon tanpa wakil (menggunakan medium seperti media sosial) ataupun dengan melantik wakil untuk menguruskan proses taaruf tersebut,” katanya.
Berdasarkan konsep taaruf yang dibenarkan Islam, beliau berkata, proses taaruf adalah permulaan untuk berkahwin kerana pada masa inilah calon akan menilai pasangan mereka sama ada boleh diteruskan ke peringkat seterusnya atau tidak.
"Proses taaruf tidak semestinya berakhir dengan kedua-dua calon bersetuju untuk berkahwin. Ia adalah proses perkenalan yang juga memberikan hak kepada calon untuk menolak pasangan taaruf mereka.
Haram, berdosa tidak ikut garis panduan syarak
Menurut Ustazah Asma’, hukum menggunakan platform ‘online’ untuk mencari jodoh asalnya adalah harus.
"Contohnya tidak melibatkan orang ketiga yang dipercayai, tidak menjaga pandangan, bersentuhan sesama jantina dan saling membuka aib,” katanya.
Tegasnya lagi, semua jelas ‘speed dating’ ini adalah idea dari barat dan pelaksanaannya juga tidak seperti dianjurkan Islam.
"Kerana itu dalam Islam kita disarankan menjaga adab-adab taaruf agar maruah kedua-dua pasangan dan tujuan perkahwinan terjaga,” hurainya.
Antara adab-adab yang dianjurkan Islam dalam taaruf:
1 - Menggunakan perantara orang tengah yang dipercayai dan memahami adab taaruf dalam Islam.
2 - Melihat pasangan dalam pertemuan yang diaturkan keluarga supaya yakin dengan keputusan yang dibuat.
3 - Membuat solat Istikharah dan Istisyarah (berbincang meminta pandangan) untuk memohon petunjuk yang benar daripada ALLAH SWT.
Sebagai kesimpulannya, Ustazah Asma’ menjelaskan, ‘speed dating’ tidak wajar dipromosikan kepada umum terutamanya kepada orang Islam.
"Moga pihak berwajib prihatin terhadap isu ini dan meneliti kembali garis panduan untuk mana-mana platform cari jodoh agar proses yang suci ini tidak dicemari dengan dosa dan dijalankan berlandaskan syariat Islam terutamanya dari segi pelaksanaan, etika kerahsiaan, privasi pengguna dan menjaga batas pergaulan berlainan jantina,” jelasnya.