SHAH ALAM - Pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Dr Hossein Amirabdollahian susulan terlibat dalam nahas helikopter merupakan satu kehilangan besar kepada negara Iran dan masyarakat global amnya.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda berkata, pihaknya melahirkan rasa sedih dan terkejut apabila mengetahui kejadian tersebut.
Iklan
Iklan
"Nahas helikopter itu meragut nyawa Presiden Iran dan menteri luarnya ketika mereka sedang melakukan penerbangan di kawasan pergunungan di Azerbaijan Timur.
"Ia merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga mangsa tetapi juga kepada negara Iran dan masyarakat global amnya," katanya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Pada Ahad, Ebrahim dilaporkan dalam penerbangan pulang dari satu majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.
Pemuda Amanah turut mengucapkan takziah kepada keluarga presiden Iran, menteri luarnya dan semua penumpang lain yang terkorban dalam kejadian itu.
"Doa kami bersama mereka, mendoakan kekuatan dan daya tahan mereka dalam masa-masa yang mencabar ini," ujarnya.