TEHERAN - Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengisytiharkan selama lima hari tempoh berkabung awam berikutan kematian Presiden Ebrahim Raisi dan rombongannya dalam nahas helikopter di barat laut Iran.
Beliau juga telah meluluskan pelantikan Naib Presiden, Mohammad Mokhber sebagai presiden sementara.
Dalam mesej pada Isnin yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi Iran, Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Ayatollah Khamenei menyatakan kesedihan mendalam atas pemergian Raisi dalam insiden tragis pada Ahad.
Helikopter yang membawa Raisi dan delegasi pengiringnya termasuk Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian, terhempas di hutan Dizmar di wilayah Azerbaijan Timur pada Ahad, meragut nyawa semua yang berada di dalamnya.
Pemimpin tertinggi itu menyifatkan Raisi seorang ulama yang rajin dan presiden popular yang mengabdikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat Iran, negara dan Islam.
"Dalam tragedi pahit ini, negara Iran kehilangan seorang hamba yang penuh kasih sayang, rendah hati, dan dihargai," kata Ayatollah Khamenei, sambil menambah bahawa Raisi tidak pernah menghentikan kerja kerasnya dan sepanjang masa berkhidmat untuk rakyat Iran.
Ayatollah Khamenei mengucapkan takziah kepada negara Iran dan turut menzahirkan rasa sedihnya atas kematian pegawai yang mengiringi Raisi dalam helikopter itu termasuk Amirabdollahian.
Laporan IRNA juga menyatakan bahawa Ayatollah Khamenei meluluskan Mokhber untuk mengambil alih sebagai presiden sementara dan bekerjasama dengan ketua parlimen dan badan kehakiman Iran untuk menyediakan alasan untuk pemilihan presiden baharu dalam tempoh 50 hari akan datang. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!