MELAKA TENGAH - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan menaik taraf lebih tujuh lampu isyarat dalam kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.
Datuk Bandarnya, Datuk Mansor Sudin berkata, usaha itu merupakan kesinambungan pada tahun lalu bagi memastikan lampu isyarat sedia ada lebih efisien dan menambah baik sistem pengurusan trafik daripada 42 lampu isyarat yang terdapat dalam kawasan MBMB.
Menurutnya, penggunaan lampu isyarat pintar itu akan diperluaskan di persimpangan lampu isyarat Jalan Panglima Awang dan Jalan Ong Kim Wee sekali gus membantu kelancaran aliran trafik terutama pada waktu puncak serta musim perayaan.
Katanya, MBMB juga tidak ketinggalan memasang lebih 4,000 tanglung dan lampu hiasan di kawasan tumpuan ramai sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina seperti yang dilakukan di Jalan Bunga Raya dan Jonker Street.
"Ini kerana kita menjangkakan akan berlaku penambahan pelancong dan pengunjung di kawasan itu pada musim perayaan, jadi inisiatif itu menunjukkan MBMB bersedia menerima kehadiran pelancong pada sambutan Tahun Baru Cina nanti," katanya.
Mansor berkata demikian kepada pemberita selepas majlis tanggungjawab sosial korporat (CSR) Galeri Beli-belah The Shore dan Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM) di Jalan Pesisiran Bunga Raya di sini hari ini.
Hadir sama Exco Perumahan Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew dan Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli negeri, Datuk Ginie Lim Siew Lin.
Mansor berkata, pihaknya juga akan memberi perhatian dengan menyelenggara kemudahan awam, meningkatkan kebersihan tandas awam dan kekerapan kutipan sampah sepanjang musim perayaan ini.
Sementara itu, Pengurusan Pelaburan Hartanah Galeri Beli-belah The Shore, Mohd Saleh Jusman berkata, seramai 500 orang daripada pelbagai bangsa terpilih menerima sumbangan yang dijangka setiap seorang akan menerima wang tunai berjumlah RM80 hingga RM100.
"Walaupun program ini bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat Tionghua namun ada juga kaum lain yang terpilih dan ini menunjukkan keharmonian dan kebersamaan kita.
"Ini juga sebenarnya program CSR yang turut melibatkan kira-kira 21 NGO (badan bukan kerajaan) untuk bersama menjayakan dengan menghulurkan bantuan kepada orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan sebagainya," katanya.