SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, kejadian bencana alam makin menjadi-jadi disebabkan perubahan iklim yang ekstrem di peringkat global.
Negara kita turut menerima tempiasnya apabila bencana alam seperti ribut, banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang semakin kerap berlaku.
Keadaan itu turut didorong oleh kesan pembangunan yang terlalu pantas hingga kepentingan alam sekitar tidak diberikan keutamaan.
Disebabkan bencana itu, ada yang menjadi korban dan tidak kurang juga mengalami kerugian harta benda.
Contoh yang paling kerap kita saksikan ialah banjir kilat di ibu kota yang telah menyebabkan kenderaan tenggelam dan kerosakan yang serius.
Dengan kerosakan seumpama itu sudah pasti memerlukan kos yang besar untuk pembaikan.
Selain itu, kita juga pernah saksikan kesan musibah banjir yang berlaku pada hujung tahun 2021 yang telah menyebabkan kerosakan harta benda termasuk bangunan, tempat tinggal, kawasan pertanian dan industri.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kos kerugian keseluruhan akibat banjir berkenaan adalah sebanyak RM6.1 bilion.
Menerusi data tersebut, jumlah kerugian kenderaan adalah sebanyak RM1 bilion, aset awam dan infrastruktur pula RM2 bilion.
Selain itu, nilai kerugian turut meliputi, kerosakan tempat kediaman iaitu RM1.6 bilion, premis perniagaan RM0.5 bilion, pertanian RM90.6 juta dan pembuatan RM0.9 bilion.
Susulan daripada itu, industri insurans am berdepan dengan tuntutan berkaitan banjir dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.
Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), walaupun setiap polisi yang ditawarkan oleh syarikat insurans berkemungkinan berbeza, namun pencarum tidak perlu risau untuk mendapatkan hak mereka sebagai pencarum.
Pihak insurans turut membantu pemegang polisi dan memastikan tuntutan diperoleh dalam tempoh yang ditetapkan.
Oleh itu penulis berpandangan, adalah amat penting bagi rakyat Malaysia untuk mengambil perlindungan insurans tambahan untuk melindungi harta benda.
Contohnya bagi kenderaan, kadar perlindungan pula tidak melebihi satu peratus malah terdapat syarikat insurans yang menawarkan serendah 0.2 sehingga 0.5 peratus kerana kiraan tersebut berdasarkan jumlah keseluruhan perlindungan.
Misalnya, jika nilai semasa perlindungan kereta berjumlah RM50,000, pemilik kenderaan hanya menambah sekitar 0.2 peratus sahaja atau bersamaan RM100 dengan insurans kereta tahunan yang dilanggan.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak membuat sebarang caruman walaupun ia sudah ditawarkan sejak sekian lama oleh syarikat insurans.
Hal ini kerana sesetengah daripada masyarakat kita yang masih tidak sedar akan kepentingan insurans.
Penulis juga sedar bahawa bukan semua orang mampu untuk membeli insurans tambahan lebih-lebih lagi keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Namun tidak salah sekiranya memperuntukkan sedikit wang untuk kebaikan di masa akan datang.
Selain caruman insurans bencana, tabungan kecemasan yang mencukupi juga penting bagi membantu memenuhi keperluan ketika saat yang tidak dijangka.
Kepentingan menjaga nyawa dan harta adalah menjadi tanggungjawab kita dan bukan terletak di bahu orang lain.Oleh itu, kita sendiri perlu memainkan peranan dengan lebih efektif untuk mempersiapkan diri mencari pelindung yang sesuai dengan keperluan semasa.
Bertindaklah daripada sekarang seperti mana pepatah sediakan payung sebelum hujan kerana kita tidak tahu perkara yang akan berlaku pada masa depan.
Sekurang-kurangnya kita telah bersedia dan tidak menyusahkan orang di sekeliling kita.
* Farhana Abd Kadir ialah Wartawan Sinar Harian
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!