GERGASI Liga Perdana Inggeris, Liverpool mengesahkan pelantikan Arne Slot sebagai Feyenoord pengendali baharu musim depan menggantikan Jurgen Klopp, umum kelab Merseyside tersebut.
Slot telah mengendalikan kelab Belanda, Feyenoord Rotterdam sejak 2021, memenangi kejuaraan liga Eredivisie pada 2022/23 bersama Piala Belanda musim ini, selain memacu anak buahnya ke final Liga Konferensi pada musim pertamanya di kelab itu.
"Ya, sudah semestinya tentu bukan satu keputusan yang mudah untuk menutup pintu belakang di kelab yang mengalami banyak detik hebat dan peluang bekerja bersama ramai orang yang hebat.
"Tetapi peluang untuk menjadi pengendali di Liga Perdana Inggeris, bersama dengan kelab terbesar dunia seperti Liverpool, sesuatu yang sukar untuk diabaikan sebagai orang sukan," kata Slot.
Pada Januari lalu, Klopp mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini dan, selepas banyak spekulasi, Slot mengesahkan pada Jumaat dia akan menjadi pengendali The Reds
"Kelab Bola Sepak Liverpool boleh mengumumkan Arne Slot telah bersetuju untuk menjadi pengendali baharu kelab, secara rasmi mengambil jawatan itu pada 1 Jun 2024, tertakluk kepada permit kerja," kata kelab Anfield itu.
Pada Ahad, Klopp diraikan penyokong-penyokong Liverpool di Anfield selepas perlawanan terakhir Liverpool musim ini, kemenangan 2-0 di tempat sendiri ke atas Wolverhampton Wanderers.
Slot sebelum ini dikaitkan dengan tugas Tottenham Hotspur pada penghujung musim lalu sebelum menandatangani lanjutan kontrak di Feyenoord, dan gaya menyerangnya yang agresif menarik perhatian Liverpool untuk membawanya ke Liga Perdana Inggeris.
Sebagai rekod, Liverpool menamatkan musim ketiga dalam Liga Perdana Inggeris, sembilan mata di belakang juara Manchester City, manakala Feyenoord menamatkan saingan di tempat kedua kepada PSV Eindhoven di Liga Eredivisie.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!