Pemuda diugut bunuh, disimbah air panas

Iklan
Kecederaan yang dialami mangsa selepas disiram dengan air panas oleh tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Sri Lumpur Isnin lalu. - Foto Zubaidah Jumaat

MERSING - Niat murni seorang lelaki ingin menziarahi ibu angkatnya bertukar tragedi apabila dipukul dan disimbah dengan air panas oleh tiga lelaki di Kampung Sri Lumpur di sini Isnin lalu.

Tidak cukup dengan itu, mangsa berusia 24 tahun turut diugut bunuh oleh kumpulan lelaki berusia 20-an dalam kejadian di sebuah rumah di kampung berkenaan kira-kira jam 8 malam.

Iklan
Iklan

Tindakan kejam itu dikongsi sendiri oleh kakak mangsa, Zubaidah Jumaat menerusi laman Facebook yang memuat naik beberapa keping gambar adiknya yang melecur di sebahagian badan dan patah jari telunjuk kanan akibat kejadian itu.

Zubaidah berkata, dia difahamkan adiknya diperlakukan sedemikian kerana adiknya yang tinggal bersama keluarganya di Kampung Pengkalan Batu tidak pernah dilihat ke Kampung Sri Lumpur.

Iklan

Menurutnya, akibat kejadian itu, adiknya yang juga anak kelima daripada 14 beradik kini menerima rawatan di Hospital Mersing.

Mangsa melecur sebahagian badan dan patah jari telunjuk kanan kini menerima rawatan di Hospital Mersing. - Foto Zubaidah Jumaat

"Ketika kejadian, adik saya baru sahaja tiba di rumah ibu angkatnya sebelum dipanggil tiga lelaki berkenaan yang berada di rumah sebelah.

Iklan

"Sebaik ke rumah terbabit, adik saya dipaksa menanggalkan baju dan seluar. Dia juga dibelasah dipercayai menggunakan objek keras. Selepas itu, adik dipaksa pula menunggang motosikal miliknya ke Sungai Derhaka sambil salah seorang daripada mereka membawa sebilah parang.

"Lelaki tersebut turut mengugut untuk membunuh adik saya, namun sebaik sampai di sungai dan ketika lelaki itu turun dari motosikal, adik saya terus memecut balik ke rumah sebelum dirujuk ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Zubaidah berkata, keluarganya sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada Rabu lalu.

Sementara itu, perkongsian Zubaidah di Facebook kini tular di media sosial yang meraih 8,500 tanda suka dan rata-rata netizen menyifatkan perbuatan itu sangat melampau serta meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

"Ini manusia ke, buat anak orang macam ini. Nampak sangat hati itu hitam dan kejam malah tiada hati perut tengok perbuatan ini. Semoga cepat sembuh ya, kesian tengok badan nampak daging macam disalai dah, ngeri tengok,” tulis Mimi Hasif di Facebook.

Rose Avera pula menulis,"Tak kiralah apa kes pun, janganlah buat macam ini. Apa pun semoga di permudahkan segala urusan dan semoga cepat pulih. Amin."