PENDANG - Allahyarham Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia di Kem Marakah, Lubnan pada Sabtu kerap membelikan hadiah buat anak-anaknya semasa pulang bercuti baru-baru ini.
Suaminya, Noor Azmi Ariffin, 39, berkata, itu antara perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 itu semasa bercuti di Kampung Sungai Mati, Mukim Tobiar di sini.
"Ketika cuti selama sebulan di kampung, hampir setiap hari dia keluar bawa balik mainan untuk anak-anak, sebelum ini dia tidak pernah beli mainan banyak seperti ini.
"Dia balik cuti kali ini memang banyak habiskan duit untuk anak-anak dan banyak luangkan masa dengan mereka," katanya yang juga bekas tentera.
Menurutnya, itulah perubahan yang dapat dirasai sebelum Allahyarham kembali menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Jumaat lalu.
Beliau mengakui masih terkejut dengan pemergian isteri tercinta kerana Allahyarham tidak mempunyai sejarah sebarang penyakit selain berada dalam keadaan sihat sebelum berlepas ke Lubnan.
Katanya, anak sulungnya berusia 13 tahun paling terkesan selepas dimaklumkan kematian ibunya dan kerap menangis, namun masih bersemangat untuk ke sekolah.
"Saya beri kata-kata semangat untuk dia, tiga orang lagi adiknya nampak okey, cuma yang bongsu saja tanya ummi dia," ujarnya yang kini bekerja sebagai pesawah.
Tambah Noor Azmi, mereka dimaklumkan jenazah Allahyarham Faridah paling awal akan sampai ke sini pada Rabu dan terus dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Tualang di sini untuk dikebumikan.
"Kami tak rancang bawa pulang ke rumah terlebih dahulu berikutan di sini kawasan sawah dan keadaan jalan agak sempit," katanya.
Terdahulu, media melaporkan Allahyarham Faridah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah di Lubnan selepas pulang bercuti selama sebulan di sini.
Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, Sabtu (7.25 pagi waktu Malaysia).
Faridah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7; (syndrome down) dan Ainul Mardiah, 4 tahun.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!