Larangan orang Islam terlibat bacaan doa bersama penganut agama lain

Iklan
UMAT Islam dilarang terlibat dalam program dan acara membaca doa beramai-ramai yang turut membabitkan penganut agama lain. -Foto: Canva

UMAT Islam dilarang terlibat dalam program dan acara membaca doa beramai-ramai yang turut membabitkan penganut agama lain pada majlis memperingati peristiwa tertentu.

Menerusi artikel Irsyad Hukum terbaharunya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan, larangan itu bersandarkan kepada sadd al-dzara’ie iaitu bertujuan menutup pintu-pintu kerosakan antaranya termasuklah mengekang fahaman plularisme dan mengelak Islam dipandang setara dengan agama-agama lain.

Iklan
Iklan

Ia susulan penularan klip video di media sosial yang memaparkan seorang ‘ustaz’ membacakan doa di perkuburan orang kafir sempena memperingati peristiwa tertentu.

Dalam perihal doa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, umat Islam dituntut untuk meminta dan berharap hanya kepada ALLAH SWT.

Iklan

Bahkan katanya, ayat yang berbunyi ‘ENGKAULAH sahaja (ya ALLAH) yang kami sembah dan kepada ENGKAULAH sahaja kami memohon pertolongan’ yang terkandung pada ayat kelima dalam Surah al-Fatihah kerap diulang setiap kali solat didirikan.

"Menurut Dr Wahbah Az-Zuhaili, ayat itu jelas menunjukkan bahawa umat Islam perlu mengkhususkan penyembahan, pengabdian dan ketaatan mereka hanya kepada ALLAH SWT dan tidak kepada tuhan-tuhan lain. Di samping itu, umat Islam juga perlu berharap dan memohon doa hanya kepada ALLAH SWT semata-mata.

Iklan

"Begitu ketara sekali perbezaan dengan sifat doa yang dilakukan oleh orang kafir yang mana mereka disifatkan sebagai dalam kesesatan yang bermaksud sia-sia belaka,” katanya.

"Ini kerana umat Islam wajib meyakini, hanya Islam ialah agama kebenaran dan ALLAH SWT satu-satunya Tuhan yang berhak disembah.

"Sedangkan, agama-agama lain tidak berada di atas jalan kebenaran. Oleh itu, doa-doa yang dipanjatkan kepada tuhan mereka adalah sia-sia belaka.

"Sementara itu, berhubung isu bacaan doa dalam majlis bersama orang bukan Islam, orang Islam dilarang membaca doa dalam majlis yang sepentas dengan golongan bukan Islam atas dasar menutup pintu-pintu kerosakan seperti mengekang fahaman pluralisme yang bertentangan dengan Islam dan mengekang penyebaran agama lain kepada masyarakat Islam,” katanya.

Perkara itu selari sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan kali ke-113 yang bersidang pada 22 Januari 2019.

UMAT Islam perlu mengkhususkan penyembahan, pengabdian dan ketaatan mereka hanya kepada ALLAH SWT dan tidak kepada tuhan-tuhan lain, DIi samping perlu berharap dan memohon doa hanya kepada ALLAH SWT semata-mata. -Foto: Canva

Mesyuarat tersebut menetapkan Hukum Berdoa Bersama-sama dengan Orang Bukan Islam dalam Satu Majlis bahawa:

1. Hukum orang Islam meminta dan mengarahkan orang bukan Islam bersama-sama berdoa mengikut anutan agama masing-masing dalam satu majlis yang dihadiri penganut pelbagai agama adalah haram.

2. Orang Islam dilarang daripada menganjurkan atau menghadiri apa-apa majlis yang melibatkan upacara keagamaan agama lain.

3. Larangan itu sebagai usaha untuk sadd al-dzara’ie iaitu mengekang penyebaran agama lain dan fahaman pluralisme agama kepada orang Islam.

4. Bagi maksud fatwa itu, usaha sadd al-dzara’ie merupakan tindakan dilakukan bertujuan untuk menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kerosakan akidah.

5. Apa pun, perenggan 1, 2 dan 3, orang Islam tidak dianggap berdosa jika berada dalam majlis yang tidak melibatkan upacara keagamaan agama lain dan terdapat orang bukan Islam yang berdoa mengikut anutan agama masing-masing dengan kehendak mereka sendiri.

Selain itu, pada tahun 2006, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan:

1. Doa tergolong dalam perkara ibadah kepada ALLAH SWT dan ia hendaklah dilakukan sebagai suatu acara yang tidak bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada ALLAH SWT kerana bagi orang Islam, memohon dan mendoakan sesuatu hanya kepada ALLAH SWT sahaja.

2. Oleh itu, muzakarah memutuskan, orang Islam tidak harus meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing. Bagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran dan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, perbuatan tersebut tidak dilarang.