'Terima kasih pada netizen yang tularkan kami'

Iklan
Mohd Azlan memangku anaknya, Mohd Aariz Zafran ketika ditemui di rumah mereka di Taman Kota Nelayan dekat Alor Setar pada Selasa. Foto Bernama

ALOR SETAR - Keluarga bayi berusia 11 bulan yang terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) kerana menghidap penyakit paru-paru kronik, terharu apabila kisah kesukaran mereka mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bapa bayi berkenaan, Mohd Azlan Ishak, 36, berkata, dia dan isteri Norhidayu Halim, 35, bersyukur kerana ada netizen yang menularkan gambar mereka dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi termasuk Perdana Menteri yang ingin menghulurkan bantuan.

Iklan
Iklan

"Saya terharu dan terkejut apabila dapat tahu cerita kami telah sampai ke pengetahuan Perdana Menteri, namun kami juga sangat susah hati kerana bimbang dikecam warga siber.

"Kami risau takut orang kata macam-macam, tapi saya berterima kasih juga pada netizen yang tularkan kami...mereka dah bantu sayalah kiranya," katanya.

Iklan
Mohd Azlan mencium anaknya, Mohd Aariz Zafran yang terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan CPAP kerana menghidap penyakit paru-paru kronik. Foto Bernama

Bercakap kepada Bernama di rumah mereka di Taman Kota Nelayan dekat sini pada Selasa, Mohd Azlan yang bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan di Kuala Kedah dekat sini dan hanya dibayar gaji harian sebanyak RM50 sehari berkata, pada masa ini, mereka sekeluarga memerlukan bantuan termasuk kenderaan untuk berulang-alik ke hospital.

"Saya dapat tahu ada yang sudi nak bantu beri kereta, tapi saya tak pasti betul atau tidak. Kami memang perlukan kenderaan... tambahan pula sekarang musim hujan, sukar nak bawa anak-anak ke hospital (menaiki motosikal)," katanya.

Iklan

Terdahulu, gambar mereka sekeluarga menaiki motosikal untuk ke hospital tular dalam media sosial sehingga mendapat perhatian Anwar yang ingin membantu keluarga berkenaan menambah baik kehidupan seharian mereka.

Mohd Azlan dan isteri bersyukur kerana ada netizen yang menularkan gambar mereka dalam media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi termasuk Perdana Menteri yang ingin menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Norhidayu berkata, mereka sekeluarga amat memerlukan bantuan agar dapat meringankan beban keluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, apatah lagi dalam masa yang sama dia menjaga ibu mentua yang lumpuh sejak dua tahun lepas.

"Sebab itulah kami tiada kereta dan terpaksa berulang-alik ke hospital dengan motosikal saja. Nak naik teksi kena bayar mahal, kami tak mampu. Nak beli makanan lagi, memang banyak belanja setiap kali nak ke hospital," kata suri rumah itu.

Menurut Norhidayu, bayinya Mohd Aariz Zafran Mohd Azlan, 11 bulan, disahkan mengalami pelbagai masalah kesihatan serius antaranya penyakit paru-paru kronik, saiz limpa besar dan gerd ketika berusia dua bulan.

"Sejak itu anak saya terpaksa memakai mesin CPAP sepanjang masa, cuma doktor benarkan dia 'rehat' sejam sebelah pagi dan sejam sebelah petang ketika mandi. Kalau tak pakai, dia akan jadi susah bernafas sampai biru muka dia," katanya.

Mohd Aariz Zafran terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan CPAP kerana menghidap penyakit paru-paru kronik. Foto Bernama

Norhidayu berkata, selain Mohd Aariz Zafran, seorang lagi anak Norhidayu dengan bekas suami pertama iaitu Iman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim, 9, turut menghidap sakit kronik termasuk jantung berlubang dan perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

"Kalau hari janji temu Aariz dan abangnya di hospital jatuh pada hari yang sama, kami berempat naiklah motosikal ke hospital. Memang tak mampu nak bayar e-hailing pun," katanya menambah Mohd Aariz Zafran hanya boleh minum susu menggunakan tiub khas dan bekalannya kadangkala terputus kerana bahan-bahan itu agak mahal.

Norhidayu mempunyai tiga lagi anak iaitu Ahmad Hafizi Abdul Rahim, 17, (menghidap cerebral palsy), Ahmad Amirul Amin Abdul Rahim, 14, dan Nur Rabbiatul Husna Abdul Rahim, empat tahun.

Pasangan suami isteri itu yang belum mendapat bantuan kewangan secara tetap daripada mana-mana agensi memberitahu, harapan mereka kini hanyalah untuk memberikan rawatan terbaik agar anak-anak mereka sembuh dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!