Cikgu Param nekad jayakan Program Sedekah Makanan

Iklan
CIKGU PARAM

[DIKEMAS KINI] Amalan berkongsi makanan yang sering dilakukan oleh mendiang bapa telah menjadi titik permulaan buat Muhammad Farhan Param Kunaseigaran, 37, memulakan usaha membantu menyediakan makanan percuma kepada golongan memerlukan.

Berkongsi kisahnya dengan Sinar Harian, Muhammad Farhan yang lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Param’ itu memberitahu, sejak kecil lagi beliau melihat mendiang bapanya, Kunaseigaran Ponnusamy selalu memberi makanan seperti kuih, nasi lemak dan lain-lain kepada orang ramai yang ditemui.

Iklan
Iklan

"Saya pernah bertanya kepadanya (mendiang bapa) semasa kecil mengapa memberi makanan kepada orang, sedangkan keluarga saya bukanlah orang berada. Ayah ketika itu hanya bekerja sebagai tukang sapu sekolah.

"Bapa saya kata, memang betul (keluarganya bukanlah orang berada), tetapi kalau kita beli dan bawa balik, kita seorang sahaja yang kenyang. Jika dikongsi dengan jiran-jiran, banyak perut kita boleh kenyangkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Lorong Ikan Emas, Cheras pada Sabtu.

Iklan

Tambah Cikgu Param, kata-kata itu telah menjadi semangat buatnya memulakan Projek Sedekah Makanan selepas bapanya meninggal dunia pada usia 68 tahun manakala ibunya, Pushperani Ponnusamy pula meninggal dunia pada usia 63 tahun dan abangnya, Mohan Kunaseigaran, 38, meninggal dunia semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2021.

Mengulas lanjut mengenai Projek Sedekah Makanan, Cikgu Param memberitahu, dia memulakannya dengan memberi tiga bungkus nasi lemak kepada para penduduk memerlukan di sekitar kawasan kediamannya.

Iklan

"Kemudian kawan-kawan bantu hinggalah sekarang. Buat masa ini, kita mampu menyediakan makanan dalam kuantiti yang lebih banyak, di antara 200 hingga 300 pek makanan,” kata beliau yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penerangan di Pusat Darah Negara.

Cikgu Param yang dilantik sebagai Duta Perpaduan oleh Kementerian Perpaduan Negara itu berkata, peruntukan dana untuk projek itu dibiayainya secara peribadi selain sumbangan daripada rakan-rakan.

"Aktiviti projek ini kita jalankan setiap hujung minggu (Sabtu atau Ahad). Kita fokuskan golongan yang memerlukan termasuk warga emas dan kita agihkan dari rumah ke rumah,” jelasnya.

Komitmen Cikgu Param membantu golongan rentan itu telah diiktiraf apabila menjadi salah seorang penerima Anugerah MyHero 4.0 oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).


Beliau menyifatkan, pengiktirafan itu bukan untuk dirinya, sebaliknya khas untuk mendiang bapanya.

"Anugerah itu akan memberi lebih suntikan semangat dan motivasi untuk saya dan rakan-rakan lain melakukan yang lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.