KUALA LUMPUR - Kerajaan menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memulakan langkah ke arah penggubalan Akta Keupayaan Mental.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, akta itu membolehkan individu membuat persediaan awal bagi pengurusan hal ehwal mereka menggunakan surat kuasa wakil sekiranya mereka hilang keupayaan mental.
"Keputusan ini boleh dibuat oleh individu terlebih dahulu sebelum hilang keupayaan mental termasuk situasi individu menjalani pembedahan atau mengalami ketidakupayaan mental sementara.
"Perundangan baharu ini akan menjadi instrumen undang-undang yang membawa perubahan signifikan di Malaysia bagi membantu dalam penjagaan dan pengurusan mereka yang tidak mempunyai kemampuan mental," katanya semasa berucap merasmikan Forum Akta Keupayaan Mental Malaysia 2024 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, Akta Kesihatan Mental 2001 yang dikuatkuasakan Malaysia ketika ini hanya membenarkan mahkamah untuk menubuhkan jawatankuasa untuk menjaga urusan dan harta individu yang menghidap penyakit mental hanya selepas individu itu hilang kapasiti mental.
"Akta Keupayaan Mental yang dicadangkan itu akan mengatasi isu ini dengan membenarkan perancangan awal sebelum ketidakupayaan mental terjadi justeru akta ini amat diperlukan," katanya.
Sementara itu, Kulasegaran dalam sidang media selepas pelancaran forum berkenaan berkata, kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan berhubung dasar berkaitan.
"Kita akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri kemudiannya untuk memperincikan pelaksanaan dasar-dasar tersebut pada masa hadapan.
"Selepas itu, kertas dasar akan dibentangkan di Kabinet, diharapkan dalam tahun ini, untuk mendapatkan kelulusan dasar sebelum penggubalan undang-undang dapat dimulakan," katanya.
Akta Keupayaan Mental pertama kali diperkenalkan di United Kingdom pada 2005 yang membolehkan penduduknya merancang untuk keadaan apabila mereka menjadi tidak berkeupayaan mental, sama ada secara kekal atau sementara akibat rawatan perubatan, kemalangan atau trauma.
Undang-undang serupa diperkenalkan di Singapura pada 2008. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!