BENTONG - Tindakan tegas menanti buat premis yang menjalankan aktiviti memproses tinja ayam berhampiran Taman Perumahan Makmur Lakeview Karak Jaya di sini sekiranya masih gagal mematuhi piawaian ditetapkan.
Ia susulan aktiviti yang dijalankan di premis itu dipercayai mendatangkan gangguan lalat pada penduduk di taman berkenaan paling ketara lebih setahun lalu.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri mengambil berat mengenai keselesaan rakyat di negeri ini dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan yang dilihat mengganggu ketenteraman penduduk.
Menurutnya, setakat ini operasi premis tersebut dihentikan buat sementara waktu sehingga dimaklumkan kelak oleh pihak berkuasa.
"Bertindak tegas mengikut klausa dan akta yang terdapat di bawah PBT (pihak berkuasa tempatan), di mana sekiranya didapati perlu, kita boleh merobohkan bangunan (premis) berkenaan," katanya pada sidang akhbar di taman itu di sini pada Isnin.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V Arumugam.
Jelas Amizar, pihak kesihatan dan juga pihak pemilik premis juga akan membuat semburan bagi menghalau lalat di kawasan berkenaan secara berkala.
Sementara itu, pengerusi taman terbabit, Jamaludin Mulk-E-Iman menghargai usaha yang dijalankan pihak berkuasa dan berharap masalah gangguan itu dapat diatasi segera.
Jelas beliau, gangguan tersebut memberikan ancaman kesihatan kepada penduduk jika dibiarkan berterusan.
"Serangan lalat ini paling ketara pada tahun lalu boleh dikatakan dari pagi hingga maghrib... kalau letak pelekat lalat dalam tempoh beberapa minit sudah banyak lalat melekat," katanya terdapat lebih 100 penduduk di taman itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!