Mahkamah tolak pengakuan bersalah lelaki penggal kucing

Iklan

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak menolak pengakuan bersalah seorang penganggur lelaki yang dituduh memenggal kepala seekor kucing milik jirannya.

Ketika sebutan kes, tertuduh, Jefrie Drahman, 33, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan pertama, Jefrie didakwa memenggal kepala seekor kucing dengan menggunakan pisau pemotong daging tanpa alasan munasabah atau tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 30(2) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (4) Akta yang sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan jenayah bunuh terhadap ibunya berusia 70 tahun.

Iklan

Bagaimanapun, Jefrie membantah fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi menyebabkan Hakim menolak kedua-dua pengakuan bersalah tertuduh.

Sehubungan itu, Hakim kemudiannya menetapkan 19 Jun sebagai tarikh pengurusan kes manakala 10 dan 11 Oktober sebagai tarikh perbicaraan kes bekenaan.

Hakim turut mengarahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam direman lanjut sehingga tarikh perbicaraan kes selesai.

Jefrie didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Jalan Tanjong Durian, Kampung Keranji, Bau, sekitar jam 12.40 tengah hari, 15 Mei lalu.

Difahamkan, Jefrie bertindak memenggal kepala kucing milik jirannya kerana tidak berpuas hati dengan pengadu, juga merupakan ibunya yang menyuruh dia mencari pekerjaan.

Tertuduh juga didakwa mengugut untuk membunuh pengadu sama seperti nasib kucing berkenaan.

Susulan itu, Ibu tertuduh membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!