Mahu beli Pajero RM28,000 tapi rugi RM142,300

Iklan
Mangsa yang merupakan pesara syarikat swasta terjebak dengan penipuan itu sejak 13 Mei lalu. Foto hiasan

KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pesara untuk memiliki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero tidak kesampaian apabila kerugian RM142,300 dipercayai terlibat dalam penipuan jual beli kereta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, mangsa berusia 55 tahun yang merupakan pesara syarikat swasta terjebak dengan penipuan itu sejak 13 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika itu mangsa telah melayari media sosial Facebook dan tertarik dengan iklan jualan kenderaan tersebut yang dilelong oleh pihak bank dengan harga RM28,000.

"Mangsa yang berminat dengan tawaran harga tersebut telah menghubungi suspek melalui aplikasi whatsapp.

Iklan

"Mangsa telah membuat dua kali pindahan wang bagi tujuan deposit sebanyak RM6,450 dan pindahan ketiga bagi tujuan insurans sebanyak RM4,850 pada hari yang sama.

"Mangsa kemudian diminta lagi untuk membuat bayaran bagi tujuan pelepasan Kastam ke atas kenderaan tersebut dan telah membuat 26 kali pindahan wang sebanyak RM131,000," katanya di sini, pada Selasa.

Iklan

Mohd Khairi berkata, mangsa terpedaya apabila suspek berjanji untuk memulangkan wang tersebut selepas urusan selesai.

"Sehingga 17 Mei lalu, mangsa telah membuat pindahan wang ke enam akaun peribadi berbeza menggunakan wang persaraannya.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas didesak untuk membuat bayaran atas pelbagai alasan oleh suspek," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga atas talian yang menawarkan harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

"Orang ramai diminta untuk membuat semakan sebelum menjakankan mmn sebarang transaksi.

"Semakan boleh dibuat melalui akaun dan nombor telefon melalui Portal Rasmi CCID https:// semakmule.rmp.gov.my/ atau segera hubungi pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!