SEREMBAN - Sindiket penyeludupan dadah menggunakan bungkusan berlogo buah durian bagi menyembunyikan 154 kilogram dadah methamphetamine bernilai RM5 juta tumpas selepas berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pada 14 Mei lalu, jam lebih kurang 4.40 petang, satu operasi khas dijalankan di Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buaya, Selangor.
Katanya, pasukan operasi telah memeriksa sebuah kenderaan jenis Proton X50 berwarna merah yang berhenti di lorong kecemasan dalam keadaan yang mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan tersebut, pasukan telah menjumpai empat buah bagasi yang di dalamnya terdapat paket-paket berlogo buah durian yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine yang berat kasarnya 154 kilogram dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.
"Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang merupakan pemandu kenderaan tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.
"Turut ditahan sebuah kenderaan Perodua Myvi di Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang, Selangor bersama seorang pemandu lelaki tempatan berusia 34 tahun. Kesemua suspek ini ditahan kerana disyaki rakan subahat dengan suspek utama," katanya.
Ujarnya, siasatan awal mendapati sindiket ini telah mengedar dadah yang diperoleh dari utara untuk dibawa ke Lembah Klang melalui jalan darat dipercayai untuk pasaran tempatan yang mana pergerakan sindiket ini menggunakan khidmat 'tonto' bagi memastikan pergerakan pengedaran dadah tersebut berjaya.
"Sekiranya 154 kilogram dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh disalahgunakan oleh seramai 770,000 orang. Ia secara langsung akan memberi kesan kepada masalah sosial dan peningkatan kadar jenayah," katanya.
Katanya, suspek utama iaitu lelaki berusia 45 tahun telah mendapat perintah reman selama 14 hari sehingga 28 Mei ini,manakala tiga lagi suspek lelaki yang bertindak sebagai 'tonto' mendapat perintah reman selama 10 hari sehingga 24 Mei ini.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan," katanya.
Sebagai rekod,pasukan operasi berkenaan melibatkan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM Bukit Aman dan dibantu oleh Unit Risikan Ibu Pejabat JKDM, Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (COBRA), Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perak dan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!