Penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 84 kes

Iklan
Pemantauan sehingga 19 Mei 2024 menunjukkan jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 84 kes berbanding 81 kes pada 13 Mei lalu.

SHAH ALAM - Pemantauan sehingga 19 Mei 2024 menunjukkan jumlah kes kumulatif bagi penyakit berkaitan cuaca panas meningkat kepada 84 kes berbanding 81 kes pada 13 Mei lalu.

Menerusi laporan ringkas status cuaca panas Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pecahan kes mengikut diagnosis adalah 17 strok haba, 64 kelesuan haba dan tiga kejang haba.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Nadma berkata, tiada kematian baharu dilaporkan pada minggu ini.

"Kes kematian akibat strok haba kekal tiga yang mana melibatkan seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun pada 2 Februari di Pahang, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Kelantan pada 1 April dan seorang lelaki dewasa berusia 25 tahun pada 22 April di Negeri Sembilan.

Iklan

"Terdapat satu kes strok haba dan satu kes kelesuan haba yang masih dirawat di wad biasa. Sementara itu kes-kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh," jelasnya pada Selasa.

Sementara itu, Nadma memaklumkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan kepada lebih 652 kawasan titik panas kebakaran di seluruh negara susulan fasa akhir Monsun Timur Laut.

Iklan

"Selangor, Johor dan Sarawak merupakan antara negeri tertinggi yang direkodkan berlaku pengulangan insiden melibatkan kebakaran kategori lalang, kebun, hutan dan pelupusan sampah," ujarnya.

Dalam pada itu, sehingga 20 Mei 2024, terdapat satu empangan yang masih menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah dan berada pada paras bahaya iaitu Empangan Malut di Kedah (23.70 peratus).

"Enam empangan lain menunjukkan stok bekalan air berada pada paras amaran iaitu Empangan Muda, Kedah (32.78 peratus); Empangan Timah Tasoh, Perlis (48.06 peratus) dan Empangan Sembrong Barat, Johor (51.82 peratus).

"Selain itu, Empangan BS Padang Saga, Kedah (51.45 peratus); Empangan Teluk Bahang, Pulang Pinang (52.00 peratus) dan Empangan Air Hitam di Pulau Pinang (59.40 peratus).

"Untuk rujukan, baki storan 29.99 peratus dan ke bawah adalah bahaya, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal)," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!