Mayat bayi ditemui bawah kereta mungkin dibuang orang luar - Polis

Iklan
Mayat bayi perempuan yang ditemui di bawah kereta Proton Iswara di sebuah pangsapuri di Pantai Dalam di sini, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR - Suspek yang membuang mayat bayi perempuan di bawah kereta Proton Iswara di sebuah pangsapuri di Pantai Dalam di sini, Jumaat lalu, dipercayai tinggal di luar kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, ia berdasarkan maklumat dan soal siasat yang dijalankan di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Kita telah merakam keterangan enam saksi termasuk individu yang menemui mayat bayi itu dan penduduk berdekatan bagi membantu siasatan kes.

"Hasil siasatan, kita tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan 'orang luar' iaitu bukan penduduk di pangsapuri berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Iklan

Ku Mashariman berkata, penduduk mendakwa tiada individu mengandung atau baru melahirkan bayi di kawasan itu.

"Kita masih menunggu laporan bedah siasat bayi itu bagi mengetahui punca kematiannya," ujarnya.

Iklan

Beliau berkata, pemeriksaan terhadap mayat bayi mendapati kecederaan pada pipi kiri bayi disebabkan oleh haiwan kerana bayi dibuang berhampiran tempat pembuangan sampah.

"Kesan gigitan itu bukanlah berpunca daripada gigitan binatang besar seperti anjing tetapi hanya binatang kecil sahaja," katanya.

Ku Mashariman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pelaku adalah warga asing berdasarkan bentuk fizikal bayi itu.

Pada Jumaat lalu, media melaporkan, seorang saksi menjumpai mayat bayi perempuan di bawah sebuah kereta Proton Iswara ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di pangsapuri berkenaan.

Mayat bayi terbabit dijumpai dalam keadaan luka kecil di pipi kiri dan berada dalam keadaan yang cukup sifat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!