SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyatakan komitmen menyokong matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050 melalui peralihan yang bertanggungjawab kepada ekonomi hijau bernilai tinggi.
Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid berkata, peralihan itu menjanjikan peluang pertumbuhan yang ketara dan memastikan penciptaan nilai lestari untuk semua pihak berkepentingan.
Menurutnya, pada 2023 TNB merekodkan pencapaian kewangan signifikan dengan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 4.3 peratus iaitu mencecah RM53.07 bilion.
"Ia didorong oleh peningkatan 3.8 peratus dalam permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Kami berupaya memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat dengan berkesan.
"Di samping pembayaran dividen RM2.66 bilion dengan 66.6 peratus diagihkan kepada Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) sekali gus mencerminkan komitmen kami terhadap nilai pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan sempena Mesyuarat Agung Tahunan TNB ke-34 di Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa.
Tambah beliau, pertumbuhan permintaan elektrik Malaysia antara petunjuk prestasi ekonomi negara dengan menunjukkan peningkatan 3.8 peratus tahun ke tahun di Semenanjung Malaysia dan Sabah, berbanding 6.1 peratus tahun sebelumnya.
"Pertumbuhan ini disokong oleh permintaan kukuh dalam segmen domestik dan komersial masing-masing sebanyak 5.5 peratus dan 9.9 peratus menggambarkan permintaan domestik Malaysia yang kukuh," katanya.
Beliau berkata, inisiatif strategik menunjukkan komitmen TNB untuk menjadi penyedia utama penyelesaian tenaga mampan dan menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani.
"Kami berada di barisan hadapan untuk mengembangkan objektif ini melalui projek utama yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
"Inisiatif ini akan meningkatkan Tenaga Boleh Baharu (TBB)secara beransur- ansur, mengukuhkan kepimpinan kami dalam penyelesaian tenaga lestari," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB sedang bersedia untuk Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) 2025-2027 dengan perbelanjaan modal (Capex) yang ketara untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia dan unjuran pertumbuhan permintaan elektrik.
"Kami bersedia untuk melaksanakan program menarik dalam NETR bagi memastikan Malaysia mencapai matlamatnya.
"Kami yakin dapat memupuk masa depan yang mampan, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua apabila TNB mengetuai tanggungjawab itu," katanya.
Megat Jalaluddin memberitahu, pihaknya komited untuk memacu pertumbuhan dan mencapai sasaran sifar bersih, berpandukan pelan peralihan tenaga.
"Selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), TNB mempertingkatkan struktur tadbir urus untuk menekankan komitmen kami terhadap kemampanan dan kelakuan korporat yang bertanggungjawab.
"Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan terus memaksimumkan kecekapan dan keberkesanan operasi, serta komitmen terhadap kemampanan. Oleh itu, kami yakin dapat mencapai objektif bagi 2024," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!