Regu ikut jejak double mara ke separuh akhir malam ini

Iklan
Servis tajam Syahir (kanan) membantu Malaysia menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama

SKUAD regu negara menepati ramalan apabila melayakkan diri ke separuh akhir selepas mudah menumpaskan Singapura 2-0 dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Trio utama, Syahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) memperagakan aksi bertenaga pada aksi suku akhir untuk memulakan langkah kanan pada set pertama.

Iklan
Iklan

Singapura yang menurunkan Danish Irfan Faizal sebagai tekong, Youri Adli Fathullah Ahmadi (apit kiri) dan Akmal Musyarraf (apit kanan) dilihat gagal menafikan servis tajam Syahir dan lipatan deras Azlan untuk menang 15-8.

Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun kemudian mengubah taktikal apabila mengeluarkan Azlan dan Syahir bagi memberi peluang kepada Shahalril Aiman Halim dan Haziq Hairul Nizam masuk gelanggang.

Iklan

Kemasukan tenaga baharu mengukuhkan kualiti persembahan regu negara terutama libasan padu Shahalril Aiman untuk Malaysia menoktahkan kemenangan 15-9.

Di sebalik kemenangan itu, Shahalril Aiman teruja dapat membantu negara melangkah ke separuh akhir dan harap impian untuk ke pentas final mampu direalisasikan.

Iklan

"Alhamdulillah rezeki ALLAH yang beri kepada kita semua untuk Malaysia mencatat kemenangan ini. Saya masih belum berpuas hati kerana banyak lagi kekurangan yang perlu diperbaiki pada perlawanan seterusnya.

"Jadi, saya harap mampu memberikan terbaik pada perlawanan separuh akhir malam ini. Saya tekad berikan yang terbaik jika diberi peluang untuk beraksi," katanya.

Dalam saingan separuh akhir malam ini, Malaysia dijadual menentang pemenang antara Indonesia dengan Myanmar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!