LANGKAWI - Semua loji pembetungan dan rawatan kumbahan di negara ini dijangka beralih menggunakan teknologi baharu yang lebih efisien dan bersih dalam merawat air kumbahan jika projek rintis teknologi yang dilakukan di Langkawi menunjukkan keberkesanan.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, teknologi 'Advanced Moving Bed Bio-Reactor' (AMBBR) kini diuji di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di sini yang melalui tempoh percubaan selama dua tahun sebelum sistem tersebut diperkenalkan di loji-loji lain.
"Kita selalu menghadapi masalah air kotor dan dengan adanya sistem baru ini semua kumbahan di negara ini akan beroperasi dengan mengambil air kotor atau waste water untuk diproses sehingga menjadi bersih," katanya ketika sidang media selepas melawat dan meninjau pelaksanaan teknologi itu di Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah di sini hari ini.
Menurutnya, sistem ini amat baik dan beliau berharap tidak ada sebarang masalah bakal berlaku.
"Jika kita berjaya dengan sistem ini, kita boleh eksport teknologi ini kepada negara lain yang berminat," katanya.
Dr Mahathir berkata, teknologi baharu itu amat penting untuk memastikan air kumbahan dirawat sebaik mungkin dan mengelakkan ia daripada mengalir ke laut dan mencemarkan pantai.
Projek rintis AMBBR itu dilaksanakan Syarikat Kyoto Water Sdn Bhd dengan kos RM16.5 juta yang melihat keberkesanan teknologi itu dalam rawatan fizikal dan biologi air kumbahan seterusnya dapat meningkatkan kualiti efluen yang dihasilkan.
Projek yang siap pada 2018 itu kini dalam tempoh tanggungan kecacatan (DLP) sebelum diserahkan kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd yang dijangka pada Jun tahun ini.
Ditanya mengenai sama ada bekalan air untuk kegunaan di Langkawi mencukupi, Dr Mahathir berkata, bekalan air di pulau ini agak terganggu.
"Aktiviti nelayan yang menangkap ikan menggunakan pukat jaring telah merosakkan saluran paip sekaligus menyebabkan bekalan air ke sini terganggu.
"Kita dapati berlaku banyak kehilangan bekalan air terutama dalam laut dan paip yang membawa air dari Perlis ke Langkawi kerana ada nelayan mengheret pukat sehingga merosakkan paip," katanya.
Katanya, perkara berkenaan akan dibetulkan dan langkah menanam paip dalam tanah akan dilakukan.