TENOM - Pengadu dalam kes Ebit Lew mendakwa mesej lucah yang dihantar kepadanya seolah-olah menghina suaminya dan isteri pendakwah tersebut.
Pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan dalam kes ini memberitahu mahkamah beliau menerima mesej daripada Ebit Lew yang memintanya bertukar pasangan.
Ketika diminta memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin, saksi diminta menceritakan apa yang berlaku pada tarikh 18 Mei 2021.
"Ebit Lew telah WhatsApp saya, dia tanya saya buat apa dan tidur dengan siapa. Dia tanya suami di mana dan dia bagi kata-kata lucah lagi," katanya ketika memberi keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom pada Selasa.
Saksi yang membacakan satu persatu mesej yang diterima memberitahu bahawa ada mesej Ebit Lew meminta bertukar pasangan.
Saksi dalam pada itu turut diminta menjelaskan mesej yang dihantar pada jam 3.16 pagi dan 3.49 pagi yang menyebut 'nanti datang KL' dan 'datanglah KL'.
"Dia (Ebit Lew) pernah cakap dengan saya, dia suruh datang KL (Kuala Lumpur) dan dia bagi tiket tapi saya tidak menerima pelawaan dia," jelasnya.
Analia dalam pada itu turut bertanyakan saksi berapa banyak mesej lucah yang diterimanya pada tarikh tersebut dalam tempoh jam 2.30 pagi hingga 4.30 pagi.
"Saya anggarkan dalam 200 lebih mesej," beritahu saksi kepada mahkamah.
Sebelum itu, perbicaraan pada petang Selasa ditangguhkan dan akan disambung semula pada jam 2.30 petang Khamis.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan oleh Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.