Penjaga parkir didakwa halang tugas anggota sentri

Iklan
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menyerang anggota polis di Balai Polis Dato’ Keramat.

GEORGE TOWN - Seorang penjaga parkir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas tuduhan menghalang tugas anggota sentri berpangkat lans koperal di Balai Polis Dato’ Keramat di sini pada Ahad lepas.

Tertuduh, Supramaniam, 35, didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis lelaki berusia 25 tahun itu dalam menjalankan tugasnya di pekarangan balai tersebut pada 4 pagi, 19 Mei lepas.

Iklan
Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan dan tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

Iklan

Bagaimanapun peguam Ranjit Singh Sandhu yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai penjaga parkir.

Majistret Nadratul Naim Mohd Saidi membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Iklan

Pada Ahad lepas, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan polis menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki menceroboh Balai Polis Dato’ Keramat di sini dan cuba merampas senjata api milik anggota sentri.

Hamzah berkata, suspek yang berada di bawah pengaruh alkohol menyuruh anggota bertugas membuka pintu pagar sambil mengeluarkan kata-kata kesat sebelum cuba menyerang anggota terbabit dengan topi keledar sehingga berlaku pergelutan sebelum suspek ditahan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!