Pertindihan jawatan ADUN lantikan hanya persepsi

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pertindihan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) sekadar persepsi pihak pembangkang.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak menjadi isu kerana lima ADUN lantikan tidak menerima sebarang pembahagian tugas dan belum menjalani istiadat mengangkat sumpah.

Iklan
Iklan

”Kita masih belum buat agihan tugas, (bagi kita) ini semua persepsi semua (pembangkang) dan sentimen (yang dimainkan) untuk mengelirukan rakyat.

”Mereka ini tidak habis-habis membuat dakwaan sebegini. Sedangkan ADUN lantikan ini belum mengangkat sumpah," katanya yang menjawab dakwaan pembangkang mengenai pertindihan jawatan antara ADUN lantikan dan Penyelaras DUN yang digalas oleh individu sama.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran BPP Kluster Siswa 2024 diDewan Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah, Gambang pada Selasa.

Wan Rosdy menjelaskan fokus utama kerajaan Pahang memastikan aspek kebajikan terjaga kepada semua lapisan masyarakat.

Iklan

Justeru, rakyat mendapat manfaat apabila individu yang dilantik memegang dua jawatan dalam kerajaan.

"Untungnya kepada rakyat di sesuatu kawasan kerana sudah pastinya kebajikan mereka lebih terpelihara, namun perkara tersebut (sebenarnya) hanya persepsi.

"Tapi, secara peribadi bagi saya kalau berlapis (bertindih) pun lagi bagus, kalau ada ADUN lantikan berlapis dengan penyelaras DUN, maknanya kawasan itu mendapat tumpuan lebih,” katanya.

Sebelum ini, pembangkang di Pahang mendakwa lima ADUN lantikan yang diluluskan pada persidangan DUN baru-baru ini berlandaskan politik semata-mata.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, kewujudan mereka sebenarnya tidak berfungsi, selain tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Pelantikan kelima-limanya tanpa melalui proses pilihan raya itu diluluskan setelah mendapat majoriti mudah dan diumumkan pada persidangan DUN pada 13 Mei lalu.

Lima ADUN lantikan tersebut terdiri daripada Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Temerloh, Datuk Wong Tat Chee; Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Rizal Jamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!