CABARAN Masters Malaysia 2024 bermula hari ini hingga Ahad di Axiata Arena dianggap sebagai platform terbaik buat pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia, untuk menguji kemampuannya menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Kehadiran beberapa bintang utama seperti pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan Anders Antonsen (nombor 4) dari Denmark, selain Li Shi Feng (nombor 6) dari China, membolehkan pemain di ranking ke-10 dunia, Zii Jia mengukur sejauh mana prestasinya sehingga kini.
Iklan
Iklan
Zii Jia, yang baharu sahaja muncul juara Terbuka Thailand pada Ahad lepas akan membuka kempen menentang Zhao Jun Peng pada Rabu dan dijangka membuat perhitungan dengan pilihan kedua, Antonsen pada suku akhir sekiranya tiada kejutan pada dua pusingan pertama.
Juara Asia 2022 itu yang turun selaku pilihan kelima pada kali ini berkata, beliau bermotivasi tinggi untuk memulakan cabaran di Masters Malaysia.
"Ketika ini, saya dalam keadaan yang baik dan bersemangat. Saya tidak mahu fikir terlalu banyak mengenai undian atau apa, sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan," katanya menerusi kenyataan daripada penganjur.
Pencapaian terbaik Zii Jia pada kejohanan Super 500 itu adalah layak ke separuh akhir edisi 2020, manakala pada tahun lalu, beliau tersingkir di pusingan kedua kepada pemain Taiwan, Lin Chun Yi.- Bernama
Artikel Berkaitan